Wednesday, December 3, 2008

Hari yang Terindah


Salam,

26 November 2008.. lahir seorang lagi khalifah di muka bumi ini. Kehadiran sang puteri yang sangat abi nanti-nantikan. Kehadiran yang bagaikan pelengkap kepada kebahagiaan yang abi kecapi selama ini..

Entah bagaimana pada pagi 26 November itu, tergerak hati abi hendak pergi lewat sedikit ke pejabat. Ada urusan yang abi hendak lakukan di rumah. Jam 11.30 pagi, ummi dah mengaduh sakit.. kami terus bersiap, ummi perlu dihantar segera ke hospital.

Bertolak dari rumah kami di Bandar Tasik Puteri, Rawang jam 12.30 tengahari, abi bergegas menghantar Itqan dan Ijlal terlebih dahulu ke nurseri mereka di Taman Permata. Sepanjang perjalanan ummi dilanda keperitan. "Sabar ye yang.." kata abi moga menjadi penguat semangat.

Akhirnya abi dan ummi sampai di Gombak Medical Centre di Taman Seri Gombak jam 1.45 petang. Kami terus ke kaunter pendaftaran. Ummi dah tak tahan sakit. "Sakit datang setiap 5 minit," kata ummi kepada jururawat yang datang membantu. Lantas ummi terus dibawa ke labour Room. Kebetulan Dr Noor Fidak yang memeriksa kesihatan ummi di hospital tersebut sepanjang tempoh ummi mengandung turut bertugas pada waktu itu.

Jam menunjukkan pukul 2.05 petang. Abi menempah bilik yang agak selesa untuk ummi menginap selepas selesai bersalin nanti. Abi mengambil wuduk dan bersiap untuk solat Zohor di bilik yang abi dah tempah untuk ummi. "Mungkin ummi bersalin petang.." fikir abi, teringat semasa Itqan dan Ijlal dilahirkan oleh ummi dahulu yang mengambil masa beberapa jam.

Baru abi nak angkat takbir, abi terdengar para jururawat yang bertugas riuh-rendah di luar bilik. Abi terus tunaikan kewajipan. Selesai solat 5 minit kemudian, disertakan doa mudah-mudahan ummi diberikan kekuatan dan kesabaran melahirkan zuriat kesayangan kami.

Keluar sahaja dari bilik, tersua dengan salah seorang jururawat. "Isteri awak dah bersalin.." katanya. terkesimalah abi. "MasyaAllah, cepatnya!" getus abi dalam hati, namun tersenyum riang. Beberapa minit kemudian abi dibenarkan masuk ke Labour Room. Alhamdulillah, ummi selamat. Lantas abi terpandang anak abi di suatu sudut bilik. Damai terasa di hati. Terus abi kumandangkan azan dan iqamat di telinga anak abi. Syukur juga, anak abi ini dilahirkan pada jam 2.17 petang dengan iringan ayat-ayat suci Al-Quran.

Kini sudah genap seminggu puteri ketiga abi melihat dunia ini. Setelah hampir enam hari kami ummi dan abi berbincang, maka kami namakan kekasih hati kami ini...

WAN NURUL IMTIYAZ...



Semoga Itqan, Ijlal dan Imtiyaz terus dalam peliharaan Allah dan berbahagia selalu.


-WaN aM-

Pusat Bandar Melawati

4 Disember 2008

3.41 p.m.