Sunday, January 2, 2011

Tahun Baharu 2011: Adakah Sinar Baru Buat Generasiku?

Fajar tahun 2011 sudah pun menyinsing. Seperti biasa kehangatan setiap kali rakyat menyambut ketibaannya memang terasa. Para pemimpin juga tidak mahu ketinggalan untuk turut serta meraikannya.

Aku juga berpeluang berada di suatu lokasi yang dibanjiri ribuan manusia yang sejak petang 31 Disember, menunggu detik jam 12.00 tengah malam. Jika tidak kerana tugasan, tidak mungkin aku hendak berada di situ.

Orang-orang muda adalah antara kelompok manusia yang teramai menghadiri upacara sambutan tahun baru masihi ini. Ada yang datang bersendirian, ada yang datang berkumpulan, dan tidak ketinggalan, datang berpacaran. Pelbagai ragam, pelbagai fesyen, pelbagai identiti. Yang alami krisis identiti pun tidak kurang jumlahnya.

Tiba sahaja detik waktu yang dinanti, bergemalah pekikan dan sorakan yang beraneka. Semuanya ceria dengan kehadiran tahun baharu. Pancaran bunga api yang berdas-das dilepaskan menakjubkan mereka yang menyaksikannya. Lebih kurang 10 minit juga ia bergemerlapan memenuhi ruang angkasa.

Sejenak minda ini bertanya, berapa jumlah perbelanjaan untuk pertunjukan bunga api ini? Mencecah angka sejutakah? Jika sebanyak itu, alangkah moleknya jika sejumlah wang ini disalurkan kepada mereka yang memerlukan. Baru sahaja berlalu bulan Ramadan yang lepas yang mana aku dapat menyaksikan segelintir rakyat di negeri ini yang berbuka puasa hanya dengan segelas air kosong sahaja.

Aku beredar dari tempat itu setelah sejam sambutan ambang tahun baru berakhir. Walaupun ramai yang telah berbondong-bondong pulang, namun ribuan manusia masih memenuhi lokasi sambutan. Entah apa agenda mereka selepas itu. Melepak-lepak sajakah, atau ada agenda lebih penting dan menarik yang mereka impikan?

Perjalanan untuk pulang ke rumah memakan masa satu jam pula. Nampaknya pukul dua lebihlah baru sampai di rumah. Tapi itu tidaklah kukisahkan sangat. Dalam seminggu, ada lah beberapa hari aku baru sampai di rumah pada waktu sedemikian. Seperti kata orang tua, "Alah bisa tegal biasa". Sudah menjadi lumrah bagi kerjaya yang kusandang kini.

Namun yang berlegar dalam kepalaku sepanjang pemanduan ialah suasana yang kualami sebentar tadi. Lebih menginsafkan bila melihat telatah dan gelagat mereka yang segenerasi denganku. Tidaklah mampu untukku coretkan di sini satu-persatu apa yang ingin kumaksudkan. Kerana suasana sedemikian rupa bukanlah menjadi kebiasaan bagiku. Tahun-tahun yang sudah, adalah beberapa kali aku ikuti acara sambutan tahun baru di masjid KLCC bersama teman-teman.

Sempat jua mindaku terfikir, ada sinar barukah buat generasiku dalam tahun baharu 2011 ini? Akan lebih baikkah generasiku pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya? Atau mungkin senarionya sama sahaja?

Atau lebih malang, gejala dan fenomena yang buruk-buruk yang selama ini menghantui generasi muda negara ini akan menjadi bertambah merunsingkan? Nau'zubillah..kita mintalah keadaan tersebut dijauhkan. Sebagai orang yang mempunyai sedikit kefahaman dan keazaman untuk meninggikan kalimah-Nya, kata-kata berikut harus menjadi pedoman, "Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, rugilah orang yang sama keadaannya hari ini dengan semalam dan celakalah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam."