Thursday, July 31, 2008

Jadilah rahmat buat sekalian alam



Salam,

Hari ini 1 Ogos 2008. Bermakna sudah hampir dua bulan aku terpisah dengan anak-anak usrahku para pelajar SMI Al-Amin Gombak lepasan SPM 2007 (Generasi 13). Mereka kini bertebaran di seluruh negara dan sedang mengikuti pengajian di beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan, kolej matrikulasi kementerian dan pusat persediaan luar negara.

Sepanjang berusrah dengan mereka, banyak peristiwa manis yang kumiliki bersama mereka (tiada pula yang pahit rasanya..).
Malah, di kalangan mereka ada yang menjadi anak usrahku sejak mereka berada di tingkatan empat lagi. Selain usrah, banyak juga aktiviti mereka yang sempat kuturuti.

Buat adik-adik abang, abang ambil kesempatan di ruangan bisu ini untuk menyusun jari memohon sejuta kemaafan sekiranya terdapat sebarang keterlanjuran yang pernah abang lakukan terhadap antum.. sememangnya abang bukan naqib yang terbaik untuk antum.. Dan abang selalu berdoa agar antum akan terus cemerlang dalam segenap lapangan yang diceburi; D.O.A (Dakwah, Organisasi (jemaah), Akademik).

Semoga adik-adik abang akan terus memberikan yang terbaik untuk Islam dan menjadi rahmat buat sekalian alam...


-WaN aM-
Generasi 4 SMI Al-Amin Gombak

Wednesday, July 30, 2008

Penjara Jadi Pusara


Tajuk: Penjara Jadi Pusara

Penulis: Megat Shariffudin Ibrahim

Penerbit: JIMedia dan PACE

Jumlah mukasurat: 76

Harga: RM10.00

ISBN: 978-983-9782-50-9

Sinopsis:

Kehadiran buku ini tepat pada masanya iaitu ketika seluruh dunia Islam memperingati peristiwa tragis yang menimpa saudara mereka di Palestin sejak 60 tahun yang lalu. Hati yang hiba bertambah malang apabila umat Islam yang bukan sedikit bilangannya di dunia hari ini, di samping negara-negara umat Islam yang mempunyai sumber kekayaan yang melimpah-ruah seakan-akan tidak mempedulikan nasib mangsa-mangsa tragedi Nakbah yang masih berlindung di khemah-khemah pelarian beberapa negara di Timur Tengah termasuklah di tanah air mereka sendiri di Palestin.

Peristiwa Nakbah bermakna malapetaka yang berlaku kepada rakyat Palestin hasil daripada konspirasi berterusan gerakan Zionis yang bersekongkol dengan kuasa-kuasa Barat yang ditunjangi oleh Britain dan seterusnya Amerika Syarikat. Natijah daripada persekongkolan ini lahirlah entiti haram Israel pada 15 Mei 1948. Bendera ‘Star of David’ Israel yang dikibarkan pada tarikh tersebut di Palestin melatari penderitaan 800,000 rakyat Palestin yang diusir dari tanah air mereka setelah pengganas-pengganas Yahudi yang dibiayai oleh Barat melakukan pembunuhan kejam beramai-ramai melalui aksi-aksi terorisme ke atas penduduk Palestin.

Boleh hubungi saya di talian 012-6615745 untuk mendapatkan buku ini.

Terima kasih.


-WaN aM-

Pegawai Eksekutif Penerangan JIM Pusat


Buku-buku terbitan JIMedia boleh dilayari di

http://www.jim.org.my/e- bazaar/index.php?main_page= index&cPath=2

Indahnya Bumi Kenyalang...


Salam,

Hujung minggu lepas, sahabat sepejabatku, Akhi Hafiz a.k.a Bai telah berada di Bintulu, Sarawak bagi mengendalikan program 'Keindahan Bersamamu' (KBM) untuk sebuah sekolah menengah di sana. Aku pasti beliau beroleh pengalaman yang berharga ketika berada di Bumi Kenyalang. Ya, aku pasti.. kerana aku juga pernah diizinkan oleh Allah untuk bertandang ke Bumi Kenyalang lewat beberapa tahun kebelakangan ini. Alhamdulillah, semuanya atas urusan dakwah. Dan setiap kali kepulanganku dari sana, aku pasti diringi sekelumit kenangan yang cukup indah..

Pada 2 hingga 4 Jun 2008 yang lalu, aku sekali lagi menjejakkan kaki di Kuching atas jemputan Karisma Sarawak untuk mengendalikan Sesi Perancangan Strategik mereka. Kehadiranku ke sini adalah buat kali ketiga, selepas dua kali jaulahku ke Kuching sebelum ini pada Jun 2004 dan Januari 2007. Jaulahku kali ini juga turut diiringi oleh dua orang pimpinan Karisma Nasional, Ukhti Khadijah Azman (Naib Presiden II/Ketua Siswi) dan Ukhti Khadijah Riza Atiq (Bendahari).


Bergambar bersama pimpinan Karisma Sarawak sejurus tiba di Lapangan Terbang Kuching


Sedang menyampaikan taklimat mengenai Perancangan Strategik di Raudhatul Mahabbah


Ukhti Nazifah (Pemangku Pengerusi Karisma Sarawak - bertudung putih) serius dalam perbincangan Perancangan Strategik Karisma Sarawak


Di pintu masuk Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Samarahan


Mercu tanda Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)


Coretan penuh kelanaku ini boleh diikuti di dalam Blog Karisma Sarawak di halaman www.indahnyabumikenyalang.blogspot.com

Mudah-mudahan sumbanganku yang kerdil ini mampu menjadi titik-tolak kejayaan dakwah di bumi Sarawak.

Semoga diberkati Allah.

-WaN aM-
Kuala Lumpur
31 Julai 2008
9.55 a.m.


Yang Teristimewa - Episod 1


Oleh Wan Am


“Wah, rajin nampak!”

“Ish.. terkejut aku. Kau dari mana ni?” Tumpuan Redha terhadap buku bacaannya hilang seketika.

Lunch, dengan Farid. Kau dah lunch?” Tanya Luqman sambil menepuk bahu rakannya itu.

“Aku puasa la hari ni.”

Aiseh, lupa plak ustaz seorang ni puasa setiap Isnin dan Khamis.”

Redha, berumur 21 tahun merupakan penuntut tahun dua jurusan pengajian media di salah sebuah institusi pengajian tinggi awam di Lembah Kelang. Rakan karibnya, Luqman yang sebaya dengannya pula mengambil jurusan perakaunan di universiti yang sama.

“Hmm.. Man, kau boleh tolong aku tak?” Cetus Redha tiba-tiba.

Hah, apanya?”

“Begini, semalam Encik Khairuddin minta aku cari beberapa orang rakan untuk handle program pengenalan Persatuan Mesra Masyarakat kepada para pelajar baru. Kau boleh join tak?” Terang Redha.

“Oh.. aku ni mana la reti organise program. Tak macam kau. Takut menyusahkan kau la pulak bila aku tolong nanti,” balas Luqman sambil memandang seorang pelajar di meja sebelah yang tekun mentelaah pelajaran.

“heh, no hal la. Yang penting ada orang bantu aku. Mati la kalau aku seorang saja yang buat.” Redha menguntum senyuman.

“Kalau cam tu OK. Kau nak aku buat apa?”

“Nanti aku jelaskan kemudian. Aku nak ajak beberapa orang lagi untuk terlibat sama. Kau boleh ajak Farid join sekali?”

“Ish.. dia bukannya berminat dengan kerja-kerja persatuan ni. Kalau kau ajak dia main bola, nak la dia tu...”

Takpe. Kita jumpa di sini tengahari esok, jam 12.30. Kau ada kelas tak?” Redha mula merencana.

Takde. Esok kelas aku sebelah petang, lepas solat Jumaat.”

“OK cantik!!”


Bersambung...


Tuesday, July 29, 2008

Moga terus tsabat...

Salam,

Petang semalam (290708) seperti biasa aku berusrah dengan adik-adik tingkatan lima SMI Al-Amin Gombak. Kali ini pengisian yang aku sampaikan berkisar tentang 'TSABAT'. Apa itu tsabat? Bila kutanya kepada anak-anak usrahku ini, ramai juga yang tak tahu maksudnya.. malah ada juga yang tak pernah mendengar perkataan tersebut.

Ok..sedikit tentang tsabat yang aku kongsikan dengan mereka:

"Dan di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah, maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada pula yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak mengubah janji-Nya." (Al-Ahzab : 23)

Pak Hassan (Al-Banna) pernah mengatakan:

"Yang kami maksudkan dengan 'tsabat' ialah anda tetap sebagai aktivis dakwah walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Anda sentiasa aktif berjuang pada jalan yang dituju walaupun masanya panjang - bahkan sampai bertahun-tahun, sampai nanti bertemu dengan Allah dalam keadaan seperti itu - dengan meraih salah satu daripada dua kebaikan; berjaya mencapai tujuan atau menemui syahid..."

Lantas kubawakan beberapa kisah mengenai insan-insan yang tsabat dalam perjuangan menegak dan mempertahankan akidah mereka. Betapa tsabatnya suatu kaum dalam kisah 'Ashabul Ukhdud' yang teguh dengan pendirian mereka bertuhankan Allah s.w.t., walaupun terpaksa menghumbankan diri ke dalam parit yang dihuni api yang marak menyala...betapa tsabatnya Bilal bin Rabbah dan Khabbab bin 'Arats menempuh seksaan yang cukup menggetirkan..

Pada detik itu jua kuteringat suatu ungkapan lirik yang mengisahkan perjuangan sebuah keluarga yang tsabat.. lirik yang sangat mengesani hatiku dan kadangkala menyebabkan air mataku bergenang lantaran kehebatan akidah mereka:

"...Sabarlah keluarga Yasir bagimu syurga di sana, Dan kau pun tega memilih syurga walau terpaksa mengorban nyawa... Lalu tombak yang tajam menikam jasadmu yang tiada bermaya, Namun iman didadamu sedikit tidak berubah..."

Aku senantiasa berdoa semoga aku, keluargaku dan rakan-rakan seperjuanganku terus diberikan kekuatan untuk terus tsabat di atas jalan Yang Maha Esa.. walau seribu halangan yang menimpa dan akan terus menduga...



"Ya Allah..tsabatkanlah kami dalam perjuangan menegakkan agama-Mu..."
(Aku bersama pimpinan Karisma Nasional sesi 2003-2005 - Aizuddin, Nizam, Naim, Zubair, Hazim, Habibah, Hasnida, Faizah dan Basmin)




Monday, July 28, 2008


Salam,

Pos pertamaku dalam dunia blogging. Tiba-tiba datang semangat untuk menceburi bidang blogger pabila melihatkan nukilan demi nukilan daripada isteri, adik-adik dan sahabat seperjuangan di dalam blog mereka. Selama ini sering dihantui alasan, "Alah, mana ada masa nak menulis.."

Dengan tujuan yang murni, dengan niat yang satu, semoga cetusan yang bakal terbit dari wadi kalbuku ini meletuskan sinar dakwah yang lebih gemilang di bumi Malaysia yang tercinta ini insyaAllah.


Semoga diberkati Allah.

-WaN aM-
Kuala Lumpur
12.17 p.m.