Thursday, April 28, 2011

Uswatun Hasanah Dalam Bersedekah

Sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w., kita seharusnya berusaha memastikan segala kegiatan dan kelakuan kita seharian sesuai dengan ajaran dan akhlak baginda. Pada diri baginda, sama ada perkataan, perbuatan mahu pun cara fikir, semuanya mempunyai nilai "uswatun hasanah" atau contoh teladan yang baik yang wajar kita ikuti. Malah, uswatun hasanah yang ada pada diri Rasulullah s.a.w. jugalah yang telah memastikan kejayaan usaha dakwah sepanjang hayat baginda.

Firman Allah:

"Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu..." (al-Ahzab : 21)

Begitu juga dalam hal bersedekah. Dikhabarkan bahawa Rasulullah s.a.w. adalah insan yang sangat pemurah terhadap sesuatu yang baginda miliki. Setiap orang yang meminta kepada baginda, akan baginda berikan, sama ada banyak atau sedikit. Baginda sendiri amat menyintai amalan memberi dan bersedekah ini, hinggakan perasaan baginda yang begitu gembira sekali ketika bersedekah mengatasi kegembiraan mereka yang menerima sedekah baginda.

Dalam kitab "Zad al-Ma'ad", Ibnu al-Qayyim ada menyebut mengenai perihal sedekah Rasulullah s.a.w. ini, "Sungguh Nabi s.a.w. adalah orang yang sangat pemurah. Tangan kanannya, ketika memberikan sesuatu bagaikan hembusan angin yang sejuk. Hati baginda sentiasa terpanggil untuk membantu. Apabila baginda didatangi oleh orang yang meminta sesuatu, maka dengan penuh semangat baginda berusaha untuk memenuhi hajat orang yang meminta itu. Ada ketikanya baginda membantu dengan makanannya sendiri, ada ketikanya dengan memberi hadiah, ada ketikanya harus menjual sesuatu yang hasilnya baginda sedekahkan. Kadang-kadang baginda berhutang, kemudian hutang itu baginda kembalikan dengan bayaran lebih daripada harta yang baginda pinjam. Kadangkala juga dengan membeli sesuatu, tapi baginda membayar melebihi harga sebenar. Rasulullah s.a.w. juga kadangkala menerima hadiah, tetapi baginda membalasnya dengan sesuatu yang lebih berharga daripada hadiah itu, atau bahkan berlipat ganda daripada jumlah hadiah tersebut sebagai bentuk kasih sayang dan kepelbagaian dalam cara bersedekah. Sedekah yang baginda berikan boleh dengan sesuatu yang baginda miliki, atau boleh juga dalam bentuk perbuatan mahupun perkataan."

Kemurahan hati Rasulullah s.a.w. dalam bersedekah ini sememangnya diakui oleh mereka yang pernah hidup bersama baginda. Antara mereka ialah Anas bin Malik r.a. yang pernah menceritakan bahawa Rasululullah s.a.w. selalu memberi (sesuatu) setiap orang yang bertanya kepada baginda tentang Islam. Pernah seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w., kemudian baginda hadiahkan kepadanya kambing yang banyak. Selepas lelaki itu kembali kepada kaumnya, dia berkata, "Wahai kaumku, peluklah agama Islam, kerana sungguh Muhammad s.a.w. telah menghadiahkan sesuatu kepadaku. Beliau sangatlah pemurah dan tidak pernah takut dengan kemiskinan." (Diriwayatkan oleh Muslim)

Rasulullah s.a.w. juga tidak hanya memberikan semata-mata sedekah kepada fakir miskin, tetapi baginda turut memberikan ‘kail’ kepada mereka agar kelak mereka dapat hidup berdikari dan tidak perlu lagi meminta-minta kepada orang lain. Seperti yang diceritakan oleh Anas r.a., suatu ketika ada seorang pengemis dalam kalangan Ansar datang meminta-minta kepada Rasulullah s.a.w. Baginda lalu bertanya kepada pengemis tersebut, “Apakah kamu mempunyai sesuatu di rumahmu?” Pengemis itu menjawab, “Tentu, saya mempunyai pakaian yang biasa dipakai sehari-hari dan sebuah cangkir.” Rasulullah s.a.w. lantas berkata, “Ambil dan serahkan cangkir tersebut kepada saya!”

Pengemis itu pun pulang mengambil satu-satunya cangkir miliknya dan kembali semula kepada Rasulullah s.a.w. Kemudian dengan cangkir tersebut baginda membuat tawaran kepada para sahabat, “Adakah di antara kalian yang ingin membeli cangkir ini?” Seorang sahabat menyahut, “Saya ingin membelinya dengan satu dirham.” Rasulullah s.a.w. menawarkannya kembali, “Adakah di antara kalian yang ingin membayar lebih?” Lalu ada seorang sahabat yang sanggup membelinya dengan harga dua dirham.

Selepas menjualnya dengan harga dua dirham, Rasulullah s.aw. memberikan wang tersebut kepada si pengemis lalu menyuruhnya menggunakannya untuk membeli makanan untuk keluarganya, manakala baki wang digunakan untuk membeli kapak. Rasulullah s.a.w. berkata, “Carilah kayu sebanyak mungkin dan juallah, selama dua minggu ini aku tidak ingin melihatmu.” Sambil melepaskan pemergiannya Rasulullah s.aw. juga memberinya sejumlah wang sebagai perbelanjaan pengemis tersebut.

Dua minggu kemudian, pengemis itu datang semula berjumpa Rasulullah s.a.w. sambil membawa wang berjumlah sepuluh dirham hasil daripada penjualan kayu. Kemudian Rasulullah s.a.w. menyuruhnya untuk membeli pakaian dan makanan untuk keluarganya seraya berkata, “Hal ini lebih baik bagi kamu, kerana meminta-meminta hanya akan membuat noda di wajahmu di akhirat nanti. Tidak layak bagi seseorang meminta-minta kecuali dalam tiga hal, fakir miskin yang benar-benar tidak mempunyai sesuatu, hutang yang tidak terbayar, dan penyakit yang membuat seseorang tidak mampu berusaha." (Riwayat Abu Daud)

Selain itu, begitu pemurahnya Rasulullah s.a.w. hinggakan sedekah baginda juga pernah ditujukan kepada orang bukan Islam yang sering menyakiti hati baginda. Dalam suatu kisah, di suatu sudut pasar Madinah ada seorang pengemis Yahudi buta yang setiap harinya selalu berkata kepada setiap orang yang mendekatinya, "Wahai saudaraku, jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya maka kalian akan dipengaruhinya."

Namun, setiap pagi Rasulullah s.a.w. mendatanginya dengan membawakan makanan, dan tanpa berucap sepatah kata pun Rasulullah s.a.w. menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu sedangkan pengemis itu tidak mengetahui bahawa yang menyuapinya itu adalah Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. melakukan hal ini setiap hari hingga baginda wafat.

Setelah wafatnya Rasulullah s.a.w., tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu. Pada suatu hari, sahabat terdekat Rasulullah s.a.w. iaitu Abu Bakar r.a. berkunjung ke rumah anaknya Aisyah r.a. yang tidak lain adalah isteri Rasulullah s.a.w. Beliau bertanya kepada Aisyah r.a., “Anakku, adakah kebiasaan kekasihku yang belum aku kerjakan?”

Aisyah r.a. menjawab, “Wahai ayah, engkau adalah seorang ahli sunnah dan hampir tidak ada satu kebiasaan baginda pun yang belum ayah lakukan, kecuali satu saja.”
“Apakah itu?”, tanya Abu Bakar r.a. “Setiap pagi Rasulullah s.a.w. selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang ada di sana”, kata Aisyah r.a.

Keesokan harinya Abu Bakar r.a. pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikan kepada pengemis yang dimaksudkan. Abu Bakar r.a. mendatangi pengemis tersebut lalu memberikan makanan itu kepadanya. Ketika Abu Bakar r.a. mulai menyuapinya, si pengemis marah sambil mengherdik, “Siapa kamu?” Abu Bakar r.a. menjawab, “Aku orang yang biasa (mendatangi engkau).”

“Bukan! Engkau bukan orang yang biasa mendatangiku,” bantah si pengemis buta itu. “Apabila ia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut, setelah itu ia berikan padaku,” sambung pengemis itu lagi.

Abu Bakar r.a. tidak dapat menahan air matanya, lalu beliau menangis sambil berkata kepada pengemis tersebut, “Aku memang bukan orang yang biasa datang padamu. Aku adalah salah seorang daripada sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Ia adalah Muhammad Rasulullah s.a.w.”

Mendengar penjelasan Abu Bakar r.a., pada ketika itu juga pengemis tersebut menangis dan kemudian berkata, “Benarkah demikian? Selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, tapi ia tidak pernah memarahiku sedikit pun, ia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, dia begitu mulia...” Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadah di hadapan Abu Bakar r.a. dan sejak hari itu dia menjadi Muslim.

Nah, lihatlah kehebatan peribadi Rasulullah s.a.w. dalam hal bersedekah ini. Memang benarlah dalam diri baginda terdapat suri teladan yang baik, memandangkan baginda memerintahkan umatnya untuk bersedekah dengan cara memberikan contoh secara langsung. Malah, sifat Rasulullah s.a.w. seperti berlapang dada dan berhati mulia terserlah lantaran gemarnya baginda dalam bersedekah serta berbuat baik sama ada kepada kawan mahupun lawan.

No comments: