Monday, August 4, 2008

Remaja dan Gengsterisme


Salam,

Hujung minggu ini program 'Keindahan Bersamamu' (KBM) kendalian Team KBM KL akan berlabuh di SMI Al-Amin Gombak. Menurut isteriku yang mengajar di sekolah tersebut, KBM ini akan difokuskan kepada para pelajar tingkatan dua. Aku tanya kepada isteriku, mengapa untuk pelajar tingkatan dua? Beliau kata, tingkatan dua tahun ini dihimpit oleh pelbagai masalah disiplin yang agak kronik.

Masalah disiplin? Aku bertanya sendiri. Hm.. aku cuba membayangkan ragam dan perangai remaja yang berada dalam peringkat usia tersebut. Tidak susah untuk aku bayangkan.. kerana aku juga pernah melalui peringkat usia tersebut.. malah di dalam persekitaran yang tidak jauh berbeza dengan mereka kerana aku turut bersekolah di situ lebih kurang 13 tahun dahulu.


Aku (berdiri kiri sekali) bergambar kenangan bersama
pelajar Tingkatan 2 Hassan Al-Basri pada tahun 1995



Mudah-mudahan dengan izin Allah, program KBM yang bakal dianjurkan nanti sedikit sebanyak dapat mengetuk pintu hati para pelajar ini agar terus berjalan di atas landasan Yang Maha Pengasih. Benar.. mereka mungkin nakal dan melakukan pelbagai masalah disiplin. Namun aku bersyukur kerana masih belum ada kes yang benar-benar berat yang pelajar sekolah ini telah lakukan hingga setakat ini.

Di sini aku kongsikan juga berita yang merupakan maklum balas yang pernah kuberikan berkaitan satu kes yang pernah terjadi di sebuah sekolah agama di Negeri Sembilan pada tahun 2004 berkaitan gengsterisme. Mudah-mudahan sekolahku ini juga terus terhindar daripada gejala sedemikian.
__________________

Gengsterisme di sekolah perlu ditangani bersama
Thursday, April 08 2004 @ 17:50:16 MYT

KUALA LUMPUR, 8 April (Hrkh) - Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma) melahirkan kebimbangan terhadap pelbagai gejala negatif yang semakin menjadi-jadi di kalangan remaja.

Pemangku Presidennya, Wan Muhammad Wan Ibrahim menegaskan, amat malang sekiranya institusi sekolah sebagai medan sosial pertama pelajar menjadi tempat penyuburan minda jenayah.

“Karisma meminta semua pihak bekerjasama dalam memastikan gejala buli dan gengsterisme dapat dibendung secara berkesan dan berterusan, sebelum menjadi barah yang boleh membawa kemudaratan pada negara,” katanya.

Sebelum ini Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub memberi jaminan pihaknya sedia menawarkan khidmat bagi bersama-sama membendung amalan kurang sihat di institusi pendidikan termasuk sekolah.

Wan Muhammad berkata bagi mencari penyelesaian masalah itu, perlu dikaji punca sebenar merebaknya gejala gengsterisem di kalangan pelajar.

"Gejala buli dan gengsterisme ini seringkali dikategorikan sebagai masalah sosial tetapi hakikat sebenar gejala ini merupakan masalah pendidikan," jelasnya.

Baru-baru ini, seorang pelajar Sekolah Menengah Agama Dato' Klana Petra Maamor, Ampangan, Seremban, Muhammad Farid Ibrahim meninggal dunia, dipercayai akibat dibelasah teruk oleh sekumpulan pelajar senior sekolahnya.

Ini adalah kes kedua melibatkan kehilangan nyawa di sekolah dalam tempoh kurang enam bulan di negara ini. Pada 31 Oktober 2003, seorang pelajar, Ahmad Firdaus Zakaria, 15, mati selepas tiga hari koma di Hospital Port Dickson, akibat dpukul sekumpulan pelajar.

Terdapat beberapa lagi kes yang dilaporkan, termasuk di Batu Pahat yang mana seorang pelajar telah dibelasah teruk sehinga kehilangan sebelah buah pinggangnya.

Menurut Wan Muhammad, pihak sekolah lebih cenderung memberi penekanan pada kecemerlangan akademik, berbanding akhlak pelajar manakala pelaksanaan subjek agama dan pendidikan moral hanya sekadar memenuhi sukatan pelajaran.

Dalam menangani gejala buli dan gengsterisme, Wan Muhammad mencadangkan pihak Kementerian Pelajaran mewartakan sekolah sebagai kawasan bebas buli dan samseng.

Katanya, pihak sekolah perlu menekankan penghayatan agama serta merangka aktiviti ko-kurikulum yang terancang dan menarik sebagai alternatif supaya pelajar tidak terlibat dalam aktiviti tidak berfaedah.

Menurut beliau, ibu bapa perlu mempunyai hubungan yang baik dengan anak-anak kerana cara itu boleh mengubah dan membaiki akhlak mereka. - SA/lanh

____________________

Wallahu 'alam. Semoga diberkati Allah.


-WaN aM-
Kuala Lumpur
050808
3.35 p.m.





No comments: