Thursday, November 18, 2010

Bedah Buku 'Tokoh2 Gerakan Islam Dalam Sejarah' - Hj Saari Sungib

Salam,

Semua dijemput ke sesi 'Bedah Buku' "Tokoh-tokoh Besar Gerakan Islam Dalam Sejarah" hasil penulisan Hj Saari Sungib @ Pakabu, ADUN Hulu Kelang, Selangor; mantan Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan bekas tahanan ISA (2 kali).

Sesi akan diadakan seperti butir-butir berikut:

Tarikh : 20 November 2010 (Sabtu)

Waktu : 2.00 - 4.00 petang

Tempat : MPH Mid Valley, Kuala Lumpur


Buku setebal 338 muka surat ini mengumpulkan kisah-kisah inspiratif para pemimpin gerakan Islam sedunia melibatkan gerakan Islam seperti Ikhwanul Muslimin di Mesir, revolusi Iran, gerakan Islam di Sudan, Hamas, kisah pejuang di Aceh malah gerakan Islam Malaysia sendiri.

Hasil tulisan Hj Saari Sungib ini merupakan karya berharga yang wajar dihalusi oleh semua anak muda Islam terutamanya yang banyak terlibat dengan gerakan dakwah. Tokoh-tokoh yang dipaparkan memang mempunyai keunikan masing-masing di dalam gerakan Islam. Melalui pengalaman tokoh-tokoh ini, anak muda Islam pasti akan lebih bersemangat dan mengetahui jerih payah yang telah dilalui oleh ahli gerakan Islam terdahulu perlu diteruskan demi perjuangan Islam yang sebenar.

Di dalam bab-bab yang awal, penulis banyak menyentuh mengenai fiqh al-waqi' dan betapa perlunya ahli gerakan Islam untuk memahami manhaj gerakan Islam bersifat waqi'. Beliau juga secara khusus menulis di dalam satu bab mengenai 5 ilmu fiqh yang perlu dikuasai oleh ahli gerakan Islam. 5 fiqh tersebut adalah fiqh al-maqasid, fiqh al-aulawiyat, fiqh as-sunan, fiqh al-muwazanah dan fiqh al-ikhtilaf.

Antaranya tokoh-tokoh yang dipaparkan adalah Hassan Al-Banna, Sayyid Qutb, Dr Yusof Al-Qardawi, Ghannouchi, Hasan Turabi, Muhammad Iqbal, Ayatollah Khomeini, Izzuddin Al-Qassam, Sheikh Abdul Qadir Muhyiddin, pemimpin-pemimpin Ikhwanul Muslimin seperti Hasan Al-Hudhaibi, Umar Tilmisani dan Mustafa Masyhur.

Penulis turut mengkisahkan tokoh-tokoh Nusantara di Aceh, Sumatra dan Jawa seperti Teungku Chik Pante Kulu dan Teungku Fakinah (pejuang Wanita Aceh). Kisah-kisah tokoh seperti T.M Hasbi As-Siddieqy dan Pak Natsir turut dikongsi.

Dan sudah tentu tokoh-tokoh Gerakan Islam Malaysia juga dipapar. Antaranya ialah Abu Bakar Al-Baqir, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Prof Zulkifli Muhammad, Tuan Guru Yusof Rawa dan Dato' Fadzil Noor.

Apa yang menarik ialah penulis bukan sahaja memaparkan kisah tokoh-tokoh tetapi lebih penting perjuangan Islam yang mereka bawa untuk melaksanakan agenda perubahan. Ini sudah pasti boleh dijadikan panduan dan bekalan buat penggerak dan aktivis Gerakan Islam kini.

Hadirlah sesi 'bedah buku' tersebut dan dapatkan senaskah buku yang amat berharga ini.

No comments: