Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 19 Nov: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub akan mengemukakan usul tergempar agar isu tarikh Aidiladha yang berbeza dua hari dengan tarikh dan masa wukuf di Arab Saudi dibincang di Dewan Rakyat, Isnin ini.
Usul tersebut dikemukakan beliau kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, semalam.
Dalam usul tersebut, beliau yang juga Naib Presiden PAS mendakwa sambutan Aidil Adha pada Rabu lalu "sangat pelik, menimbulkan banyak keraguan, kekeliruan dan masalah kepada umat Islam di negara ini".
Beliau mengemukakan usul berkenaan bagi menangguhkan mesyuarat di bawah peraturan perkara 18(1).
Berikut ialah usul penuh beliau.
Adalah saya Haji Salahuddin Haji Ayub (Kubang Kerian) dengan ini memohon supaya mesyuarat ini ditangguhkan untuk merundingkan perkara yang pada hemat dan pandangan saya adalah tertentu, perlu disegerakan dan berkepentingan ramai iaitu isu yang berkaitan dengan tarikh sambutan Hari Raya Aidil Adha yang berbeza dua hari daripada tarikh dan masa wukuf yang diisytiharkan oleh kerajaan Arab Saudi.
Tarikh sambutan Hari Raya Aidil Adha tahun ini yang diisytiharkan jatuh pada hari Rabu, 17 November 2010 adalah sangat pelik dan menimbulkan banyak keraguan, kekeliruan dan masalah kepada umat Islam khususnya di negara ini. Perbezaan dua hari sambutan Aidil Adha di negara ini yang diambil kira daripada tarikh dan masa wukuf di Arafah yang jatuh pada hari Isnin, 15 November 2010 adalah jelas tidak munasabah walaupun dapat kita fahami perbezaan waktu peredaran matahari yang hanya berbeza lebih kurang lima jam di antara Malaysia dan Arab Saudi. Juga adalah dimaklumkan kesan kekeliruan tarikh ini juga mengakibatkan juga bilakah pula berakhirnya hari Tasyrik yang melibatkan masa yang diizinkan menyembelih ibadah qurban.
Isunya di sini ialah bagaimanakah pihak pengurusan agama Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri menggarap dan mengurus tadbir isu ini? Apakah hujah dan alasan yang diberikan kepada pihak yang bertanggungjawab sebelum pengisytiharan tentang tarikh hari Raya Aidil Adha dibuat? Adakah tidak ada pengurusan, penyelarasan dan perbincangan dibuat untuk menyelesaikan perkara yang sekecil dan semudah ini?
Saya berpandangan dalam era kecanggihan peralatan komunikasi dewasa ini tidak ada alasan untuk kita menyelesaikan isu yang sangat mengelirukan, meresahkan dan membingungkan seperti ini. Memandangkan perkara ini adalah satu isu yang serius, saya mengambil tanggungjawab untuk Dewan Yang Mulia ini membincangkan isu dan meminta pihak Jabatan Perdana Menteri memberikan jawapan dan penjelasan agar perkara seperti ini tidak akan berulang lagi pada masa akan datang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Maklum balas JAKIM mengenai isu ini dalam laman berikut:
http://www.malaysiakini.com/letters/148734
Post a Comment