Fitrah manusia sukakan kemenangan dan kejayaan. Demikian juga, tiada manusia normal yang mahu ditimpa kekalahan dan kegagalan dalam sebarang tindakan mereka. Menang, kalah, berjaya, gagal adalah rencah kehidupan. Dalam konteks kejayaan, lazimnya siapa yang lebih berusaha, dialah yang akan lebih berjaya. Dan disebabkan pemburuan kemenangan dan kejayaan inilah juga wujudnya "perlumbaan"; manusia saling berlumba-lumba dan bersaing antara satu sama lain untuk menjadi lebih baik dan yang terbaik.
Manusia sememangnya terdedah dengan dunia perlumbaan sepanjang hidup mereka. Sewaktu di alam sekolah, mereka berlumba-lumba untuk mengejar kedudukan yang baik dalam matapelajaran dan peperiksaan yang dihadapi. Dalam alam kerjaya, ada sekumpulan orang yang berlumba melaksanakan tugas masing-masing sebaik mungkin (dan tidak kurang juga berlumba untuk membodek dan menghasut bos) gara-gara ingin naik pangkat, naik gaji dan mendapat perhatian orang atasan. Para pemimpin politik turut berlumba memenangi hati rakyat menerusi kempen dan aktiviti politik mereka supaya berpeluang menjadi wakil rakyat di Parlimen, seterusnya mencapai cita-cita politik dan parti politik yang mereka wakili. Ahli perniagaan pula saling berlumba meraih keuntungan sebanyak mungkin dalam bisnes yang mereka usahakan.
Memang benarlah, hidup ini suatu perlumbaan.
Islam sendiri turut mengajak para penganutnya untuk menghidupkan semangat berlumba-lumba, namun dalam ruang lingkup melaksanakan perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Umat Islam bukan sahaja diseru untuk mengerjakan amal kebaikan, malah turut digalakkan untuk saling berlumba antara satu sama lain dalam melaksanakan sesuatu amal kebaikan (juga berlumba meninggalkan amal kejahatan). Semangat untuk berlumba-lumba mengerjakan kebaikan ini adalah antara perkara yang perlu disuburkan dalam jiwa setiap Muslim kerana dengan cara demikian manusia boleh mendekatkan diri kepada Tuhan.
Dalam al-Quran banyak ayat yang menyeru manusia melakukan kebaikan dan berlumba-lumba ke arahnya, kerana dengannya manusia akan beroleh kejayaan, kemenangan dan kebahagiaan. Antaranya ialah sebagaimana firman Allah:
“Berlumba-lumbalah untuk mendapatkan keampunan Tuhan kalian di samping syurga yang luasnya seluas petala langit dan bumi. Syurga tersebut disediakan untuk orang yang bertakwa dan menginfakkan harta mereka dalam keadaan senang dan susah." (Ali Imran : 133-134)
"Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya (sendiri) yang ia menghadap kepadanya. Maka berlumba-lumbalah (dalam berbuat) kebaikan, di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu." (al-Baqarah : 148)
"Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera untuk mengerjakan kebaikan dan selalu berdoa kepada kamu dalam keadaan suka mahupun duka. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyuk kepada kami." (al-Anbiya' : 90)
Umat Islam dituntut untuk berlumba-lumba mengerjakan kebaikan mengikut keadaan masing-masing, tidak kira di mana ia berada dan apa bidang yang diceburi. Seorang doktor hendaklah berbuat baik semasa menjalankan tugas rawatannya. Begitu juga dengan seorang guru yang menyampaikan sebaik mungkin segala ilmu yang dimiliki kepada anak muridnya. Para petani pula berlumba-lumba melakukan kebajikan melalui hasil pertanian mereka. Pendek kata, Islam meminta kita agar berlumba-lumba melaksanakan kebaikan mengikut bakat, kemampuan dan kepakaran masing-masing.
Malah, Allah turut menyenaraikan antara ciri orang yang sebenar-benarnya beriman dengan-Nya adalah golongan yang sentiasa berada dalam saingan kebaikan.
"Mereka itu berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan, dan merekalah orang-orang yang segera memperolehnya." (al-Mukminun : 61)
Ada sebuah hadis yang menjelaskan, para sahabat Rasulullah s.a.w. telah menunjukkan suatu teladan yang baik, yang mana mereka sering berlumba-lumba mahu melakukan kebaikan.
Daripada Abu Zar r.a., bahawa sebahagian sahabat Rasulullah s.a.w. berkata kepada Nabi s.a.w.: "Wahai Rasulullah! Orang-orang kaya telah mendapat banyak pahala. Mereka sembahyang sebagaimana kami sembahyang, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka bersedekah dengan lebihan harta mereka." Baginda bersabda, "Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu sesuatu yang kamu boleh bersedekah dengannya? Sesungguhnya dengan setiap kali tasbih itu adalah sedekah, setiap kali takbir itu adalah sedekah, setiap kali tahmid itu adalah sedekah, setiap kali tahlil itu adalah sedekah, menyuruh amar makruf itu sedekah, menegah mungkar itu sedekah dan pada kemaluan seseorang kamu pun adalah sedekah." Mereka bertanya, "Ya Rasulullah! Adakah apabila salah seorang kami melepaskan syahwatnya pun dia beroleh pahala?" Baginda bersabda, "Bagaimana pandangan kamu kalau dia melepaskan syahwatnya pada tempat haram, adakah dia berdosa? Maka demikian jugalah apabila dia melepaskannya pada tempat yang halal, dia beroleh pahala."
Menurut Ibnu Rajab al-Hanbali dalam kitabnya "Syarah 50 Hadis", hadis ini menjadi bukti yang menunjukkan bahawa para sahabat r.a. amat prihatin dalam melakukan amal salih. Mereka amat berminat untuk melakukan amal kebaikan, sehingga mereka merasa sedih apabila tidak dapat melakukan kebaikan yang mampu dilakukan oleh orang lain. Orang fakir merasa sedih kerana mereka kehilangan peluang bersedekah dengan harta. Sedangkan ia mampu dilakukan oleh orang kaya. Mereka juga merasa sedih lantaran tidak dapat turut serta keluar berjihad, kerana tidak mampu menyediakan peralatan perang. Oleh itu Nabi Muhammad s.a.w. menunjukkan sedekah yang mampu mereka lakukan dengan memberitahu bahawa semua jenis perbuatan makruf dan baik adalah sedekah.
Para sahabat Rasulullah s.a.w. sememangnya selalu berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan dalam usaha melaksanakan perintah Allah dan rasul-Nya. Lihat sahaja semangat Saidina Abu Bakar r.a. dan Saidina Umar al-Khattab r.a. yang berlumba-lumba dalam memberikan sedekah seperti yang saya kisahkan dalam artikel sebelum ini. Selain itu, para sahabat juga sentiasa berlumba-lumba mencontohi apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. sekalipun perkara itu kecil. Malah, mereka juga berlumba-lumba untuk ke medan jihad dan mendapat syahid di jalan Allah.
Berhubung hal ini, ada satu peristiwa iaitu semasa di dalam Peperangan Badar ketika tentera Muslimin bertembung dengan tentera Musyrikin. Rasulullah telah bersabda, “Bangkitlah menuju ke syurga yang seluas langit dan bumi.” Lalu Umair bin al-Humam al-Ansori berkata, "Wahai Rasulullah, adakah syurga seluas langit dan bumi?" Jawab Nabi s.a.w., “Ya.” Umair berkata, "Bakh bakh (menjerit-jerit)!" Nabi bersabda, "Apakah maksud dari perkataanmu bakh bakh?" Lalu Umair menjawab, "Demi Allah wahai Rasulullah, tidak saya berkata demikian, saya cuma berharap supaya saya termasuk ke dalamnya (syurga)." Lalu Nabi s.a.w. menyatakan, “Kamu termasuk ke dalamnya.” Lalu Umair mengeluarkan beberapa biji tamar dari tangkainya, lalu dia makan kesemuanya kemudian berkata, "Sekiranya saya berkesempatan hidup sehingga saya menghabiskan semua tamar saya ini bermakna saya mengecapi hidup yang panjang." Lalu beliau melemparkan buah tamar yang masih ada padanya. Kemudian beliau segera membunuh mereka sehingga beliau terkorban. (Sahih Muslim)
Oleh itu rakan-rakan sekalian, ayuhlah kita berlumba-lumba untuk membuat kebajikan. Setiap amalan baik yang dilakukan, sekalipun kepada makhluk lain yang hidup di muka bumi ini pastinya diredai Allah. Jangan pula kita termasuk dalam kalangan orang yang berlumba-lumba untuk sesuatu tujuan dunia, kerana timbangan dunia di sisi Allah tidak pun seberat sayap nyamuk. Sebaliknya timbangan akhirat di sisi-Nyalah yang amat berat, justeru jadikan akhirat sebagai sasaran akhir perlumbaan kita di dunia ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment