Dermawan I
Diriwayatkan pada satu ketika Nabi Muhammad s.a.w. memerintahkan umat Islam mengeluarkan sedekah untuk membantu dalam perjuangan menegakkan agama Allah. Setelah mendapat seruan tersebut, Umar bin al-Khattab r.a. terus mengumpulkan seluruh hartanya, lalu berfikir, "Pada suatu masa Abu Bakar telah bersedekah lebih daripada apa yang aku sedekahkan. Hari ini aku akan bersedekah lebih banyak daripada Abu Bakar."
Umar r.a. datang kepada Rasulullah s.a.w. untuk memberikan separuh daripada hartanya sebagai sedekah. Rasulullah s.a.w. lantas bertanya kepada Umar r.a., "Adakah kamu tinggalkan sesuatu (harta) untuk keluargamu?" Umar r.a. menjawab, "Saya tinggalkan mereka sama dengan kadar ini (bermaksud separuh daripada harta lagi)."
Tiba-tiba datang pula Abu Bakar r.a. yang membawa seluruh hartanya untuk disedekahkan. Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Abu Bakar r.a., "Wahai Abu Bakar, adakah kamu tinggalkan sesuatu (harta) untuk keluargamu?" Abu Bakar r.a. menjawab, "Saya tinggalkan Allah dan rasul-Nya untuk mereka."
Mendengar jawapan Abu Bakar r.a., Umar r.a. berkata, "Sungguh aku tidak mampu mengalahkan sedekah Abu Bakar untuk selama-lamanya."
(Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, al-Darimi, al-Hakim dan al-Baihaqi)
Dermawan II
Diriwayatkan dalam satu peperangan yang disertai oleh Rasulullah s.a.w., kaum Muslimin ditimpa kesengsaraan dan kepayahan, sehingga nampak pada wajah mereka raut kesedihan, sedang kaum munafik terlihat rasa senang dengan penderitaan kaum Muslimin tersebut. Melihatkan keadaan tersebut, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Demi Allah, sebelum matahari terbenam, Allah akan datangkan rezeki kepadamu."
Ketika Uthman bin Affan r.a. mengetahui keadaan kaum Muslimin tersebut, beliau segera membeli 14 ekor unta yang membawa makanan. Sembilan ekor daripadanya beliau serahkan kepada Rasulullah s.a.w. Ketika Rasulullah s.a.w. melihat unta-unta tersebut, baginda bertanya, "Apa ini?" Para sahabat menjawab, "Makanan ini datang daripada Uthman." Pemberian daripada Uthman tersebut telah membuatkan wajah Rasulullah s.a.w. dan kaum Muslimin penuh kegembiraan, sebaliknya orang-orang munafik pula yang diulit kesedihan.
Pada ketika itu Rasulullah s.a.w. mengangkat kedua tangannya dan baginda berdoa untuk Uthman dengan doa yang sangat berbeza dengan doa-doa baginda sebelumnya:
"Ya Allah, berikanlah (kelebihan) untuk Uthman. Dan wujudkanlah (kelebihan) itu untuknya."
(Riwayat al-Tabarani dan Ibnu Asakir)
Dermawan III
Pada suatu ketika Madinah dilanda musim kemarau. Di tengah-tengah masyarakat tersebar khabar kehadiran kafilah milik Abdul Rahman bin Auf r.a. yang membawa barangan berupa makanan, buah-buahan dan pakaian. Para peniaga kota Madinah berpusu-pusu mendatangi kafilah Abdul Rahman untuk membeli barang-barang tersebut.
Mereka bertanya kepada Abdul Rahman, "Apakah engkau akan menjual semua ini?" Abdul Rahman menjawab, "Ya." Mereka berkata lagi, "Juallah barang-barang kamu kepada kami dan kami akan memberimu keuntungan sebanyak dua kali ganda. Setiap satu dirham akan kami bayar dua dirham."
Abdul Rahman berkata, "Maaf, aku telah menemui pihak yang boleh membayar lebih besar daripada jumlah yang kamu tawarkan."
Mendengar jawapan Abdul Rahman, para peniaga tersebut membuat tawaran lagi kepada Abdul Rahman. "Baiklah, kami akan membayar tiga kali ganda kepadamu." Abdul Rahman menjawab lagi, "Maaf, aku telah menemui pihak yang boleh membayar lebih besar daripada jumlah yang kamu tawarkan itu." Mendengar jawapan tersebut, mereka terus membuat tawaran, "Kami akan membayar kamu empat kali ganda." Namun sekali lagi Abdul Rahman menjawab, "Maaf, aku telah menemui pihak yang boleh membayar lebih besar daripada jumlah yang kamu tawarkan."
Para peniaga Madinah itu akhirnya putus asa dengan jawapan Abdul Rahman tersebut lalu berkata, "Kami ini adalah peniaga Madinah dan tidak ada orang yang mampu membayar lebih besar daripada kami." Abdul Rahman menjawab, "Sesungguhnya Allah telah memberikan bayaran yang lebih besar kepadaku dari atas langit. Sebagaimana firman Allah:
"Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah adalah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah, Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya." (al-Baqarah : 261)
Abdul Rahman lalu berkata, "Allah akan membayar kepadaku lebih dari tujuh ratus kali ganda, bahkan sehingga gandaan yang tidak terkira. Aku bersaksi di hadapan kamu semua, di hadapan Allah, dan para malaikat-Nya bahawa semua barang ini aku sedekahkan di jalan Allah. Aku tidak akan menerima satu dirham atau satu dinar pun daripada barang-barang ini."
Para peniaga itu pun beredar meninggalkan Abdul Rahman yang kemudian menyedekahkan semua barang dagangannya kepada orang-orang miskin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment