Sunday, May 8, 2011

Ramadhan Bulan Kebajikan

Setiap kali tiba bulan Ramadhan, kita akan dapati banyak pihak yang mengadakan aktiviti-aktiviti tertentu bagi mendapatkan sumbangan orang ramai terhadap projek-projek kebajikan yang sedang dan akan mereka laksanakan. Saya sendiri pernah terlibat dengan program ‘fund raising’ pada bulan Ramadhan khusus bagi membantu mendapatkan dana bagi rumah perlindungan saudara baru, dana untuk pembinaan sekolah serta pemberian sumbangan berbentuk makanan berbuka puasa kepada mereka yang tertindas dan ditimpa musibah di dalam dan luar negara. Aktiviti sebegini pada bulan Ramadhan bukanlah sesuatu yang menghairankan jika banyak pihak yang melaksanakannya, malah sangat dianjurkan oleh Islam memandangkan besarnya kelebihan dan keutamaan yang dikurniakan Allah kepada umat Islam pada bulan tersebut.

Bulan Ramadhan adalah bulan yang agung dalam Islam dan mengandungi banyak keberkatan. Dalam bulan Ramadhanlah Allah memerintahkan manusia untuk berpuasa selama sebulan pada siang hari, manakala malamnya dihidupkan segala amalan sunat. Malah, sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah dengan melaksanakan satu amal kebajikan pada bulan Ramadhan, maka mereka akan diberikan ganjaran yang sama dengan ganjaran 70 amalan fardu pada bulan yang lainnya. Dalam bulan Ramadhan jugalah terdapatnya Lailatul Qadar, suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Daripada Jabir katanya, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Ramadhan telah datang kepada kamu. Ia adalah bulan yang Allah memenuhkannya dengan keberkatan, menurunkan rahmat padanya, memadamkan kesalahan, memakbulkan doa, menunggu mereka yang berlumba melakukan kebajikan dan malaikat berbalah mengenai kebajikan kamu. Maka tunjukkanlah kepada Allah kebaikan, kerana orang yang celaka ialah mereka yang tidak mendapat rahmat Allah dalam bulan tersebut.” (Riwayat al-Baihaqi)

Mengenai hadis di atas, Hasan al-Basri telah menjelaskan lagi maksudnya dengan kata-kata berikut, “Sesungguhnya Allah s.w.t. telah menjadikan Ramadhan medan untuk makhluk-Nya berlumba melakukan kebajikan untuk mendapat keredhaan-Nya. Sebahagian mereka mendahului, maka mereka berjaya dan sebahagian mereka terkebelakang dan mereka kerugian. Suatu perkara yang menghairankan kerana masih ada lagi sesiapa yang tertawa dan lalai pada hari orang membuat kebajikan akan mendapat kejayaan dan kerugian bagi mereka yang tidak membuat kebajikan.”

Amalan bersedekah amat dituntut untuk dilaksanakan pada bulan Ramadhan. Dalam bulan Ramadhan yang merupakan bulan kebajikan, Islam sangat menggalakkan umatnya untuk bersikap pemurah dengan bersedekah kepada insan lain lantaran kemuliaan Ramadhan yang menjanjikan gandaan pahala terhadap setiap amalan kebaikan. Malah, Allah sendiri sangat pemurah pada bulan Ramadhan dengan memberikan pengampunan kepada hamba-Nya dan sentiasa memakbulkan doa mereka. Selain itu, Allah turut menyediakan syurga kepada mereka yang beramal kebajikan yang menggabungkan ibadah berpuasa dan bersedekah pada bulan Ramadhan.

Dalam Sahih Muslim daripada Abi Hurairah r.a. katanya:

“Baginda Rasulullah s.a.w. suatu hari pernah bertanya sahabatnya: ‘Siapakah di antara kamu yang berpuasa hari ini?’ Abu Bakar menjawab: ‘Saya wahai Rasulullah.’ Rasulullah bertanya lagi: ‘Siapakah di antara kamu mengiringi jenazah pada hari ini?’ Abu Bakar menjawab: ‘Saya wahai Rasulullah.’ Rasulullah bertanya lagi: ‘Siapakah di antara kamu yang bersedekah hari ini?’ Abu Bakar menjawab: ‘Saya wahai Rasulullah.’ Rasulullah bertanya seterusnya: ‘Siapakah dalam kalangan kamu menziarahi orang sakit pada hari ini?’ Abu Bakar menjawab: ‘Saya wahai Rasulullah.’ Lantas Rasulullah bersabda: ‘Sesiapa yang terkumpul padanya sifat-sifat seperti yang disebutkan maka beliau akan memasuki syurga.’”

Rasulullah s.a.w. sendiri adalah insan yang sangat pemurah dalam bulan Ramadhan. Sesiapa sahaja yang meminta sesuatu daripada baginda pada bulan Ramadhan, pasti baginda akan memenuhi hajat mereka. Sifat pemurah Rasulullah s.a.w. ini turut digambarkan oleh Ibn Abbas r.a. yang berkata:

“Baginda Rasulullah s.a.w. merupakan orang yang paling pemurah melakukan pelbagai kebaikan. Kemurahan baginda akan bertambah menjelangnya bulan Ramadhan ketika baginda dikunjungi oleh malaikat Jibril. Jibril akan datang menemani baginda Rasulullah pada setiap malam, pada bulan Ramadhan sehingga akhir Ramadhan. Pada setiap malam pada bulan Ramadhan baginda Rasulullah membaca Al-Quran dan memperdengarkan bacaan baginda kepada Jibril. Pada ketika itulah Rasulullah dilihat sebagai seorang yang paling pemurah dengan melakukan pelbagai kerja kebajikan.” (Riwayat Bukhari)

Telah berkata Imam as-Syafie, “Wajib bagi setiap orang yang berpuasa, menambah kadar kemurahannya pada bulan Ramadhan sebagai mengikuti sunnah baginda s.a.w. dan disebabkan ramainya orang yang memerlukan bantuan pada bulan tersebut. Ini disebabkan kebanyakan kaum Muslimin pada bulan tersebut sibuk dengan amal ibadah melebihi usaha dan kerja untuk menambah pendapatan sendiri.”

Islam turut membayangkan suatu gambaran yang baik bagi orang yang membelanjakan hartanya untuk memberi makan kepada mereka yang berpuasa pada bulan Ramadhan. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa, maka dia akan memperoleh atau dituliskan untuknya seperti pahala orang yang berpuasa tanpa dikurangi sesuatu pahala orang yang berpuasa.” (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi)

Justeru, jika kita mendapat seruan dan panggilan untuk memberikan sebarang bentuk sumbangan pada bulan Ramadhan, ayuh kita berlumba-lumba mendermakan sebahagian harta kita untuk tujuan tersebut. Moga-moga peluang yang Allah limpahkan kepada kita dalam bulan yang mulia ini dapat kita manfaatkan sebaiknya dengan amalan-amalan seperti bersedekah, selanjutnya akan menjadi pemberat timbangan amal kebaikan kita pada Hari Akhirat kelak, insya-Allah.

No comments: