Monday, May 24, 2010

Murabbi Kampus - episod 3

Oleh Wan Am

Kampus yang aku jejaki hari ini bolehlah dikatakan ‘gah’ pada mata masyarakat. Sejarahnya sudah melepasi beberapa dasawarsa. Puluhan ribu, jika tidak ratusan ribu graduan telah dilahirkan melalui institusi ini dalam tempoh masa tersebut. Dalam kalangan mereka ada yang telah menjadi orang besar dalam bidang masing-masing. Dengan latar belakang tersebut sudah cukup membuatkanku puas andai dapat menumpahkan keringatku buat beberapa waktu di tempat ini, walaupun pada awalnya insitusi ini bukanlah menjadi destinasi pilihan utamaku sewaktu mengisi borang UPU.

“Assalamualaikum, saya Azlee!” Seorang lelaki berkulit cerah dan berkaca mata menegurku sewaktu aku mula meletakkan barang-barang peribadiku di atas katil yang masih belum diduduki orang. Sudah tentu dia yang ditempatkan sebilik denganku oleh pihak kolej kediaman. Sebuah lagi katil di dalam bilik tersebut masih belum terusik.

“Waalaikumsalam, saya Ilman.” Lantas kami berjabat tangan. Bicara biasa bagi mereka yang baru kali pertama berkenalan berlangsung antara kami. Nampaknya kami sama-sama orang bandar. Maka bertambah banyaklah cerita yang dibualkan.

Perbualan kami terganggu dengan bunyi ketukan pintu dari luar.

“Masuklah, pintu tidak berkunci!” Azlee sedikit memekik.

Pintu terkuak. Seorang lagi yang pastinya seusia kami memandang kami sambil tersenyum. Kemudian membuka sepatu dan meletakkannya di rak yang dikhaskan. Melihatkan beg-beg baju serta beg plastik yang dibawanya agak banyak, kami terus menerpa ke arahnya, tanda mahu menghulurkan bantuan.

“Tidak mengapa. Saya boleh mengangkat barang-barang saya ini sendiri.”

“Takpelah. Pasti awak dah penat mengangkut barang-barang ini dari tingkat bawah. Mari kami bantu,” aku pintas menawarkan diri. Azlee menggangguk, tanda setuju.

“Terima kasih. Saya Mustafa, dari Johor Bahru.” Mustafa menghulurkan salam. Kami berdua menyambutnya lantas memperkenalkan diri masing-masing.

Kami kembali mengemas barang peribadi masing-masing. Setiap pelajar diperuntukkan sebuah katil, sebuah almari baju, dan sebuah meja belajar. Walaupun kelengkapan-kelengkapan ini agak memenuhi ruang bilik kami, namun keselesaan masih terasa. Alah bias tegal biasa. Resam ingin menuntut kejayaan, biarlah bersusah-susah dahulu.

“Dah sampai masa makan tengah hari ni. Jom kawan-kawan kita pergi isi perut. Dengar kata kalau nak lunch kena pergi kolej kediaman sebelah. Di kolej kediaman kita ni tiada kafetaria kan?”

“Ya. Mari!”

Thursday, May 20, 2010

Murabbi Kampus - episod 2

Oleh Wan Am

Petang itu adalah petang yang damai. Selepas menunaikan solat fardu Asar secara berjemaah, lapan orang anak muda berhimpun di ruang belakang masjid yang tersergam di kampus yang terletak di Bandaraya Anggerik.

“Assalamualaikum. Apa khabar semua?” Aku memulakan sebelum kami berlapan membentuk bulatan, mengambil tempat duduk masing-masing.

Ucapan salamku dibalas perlahan oleh mereka. Ammar, Rahman, Muhaimin, Umar, Amir, Hafidz dan Asyraf memandangku, pelbagai riak muka yang terpancar. Mereka tidak tertinggal untuk berjabat tangan denganku. Penuh mesra.

“Semua maklumkan abang Mustafa tak dapat bawa usrah kamu hari ini? Dia minta abang ganti,” aku meneruskan. Masih ada rasa kurang keyakinan di dalam diri.

“Ya, abang Mustafa ada SMS saya tengah hari tadi dan minta saya beritahu mereka semua yang usrah hari ini akan diadakan walaupun dia tak dapat hadir. Abang, empat orang daripada kami tidak hadir usrah hari ini,” ujar Umar, menunaikan tanggungjawabnya sebagai ketua kumpulan usrah tersebut.

“Hm.. Siapa mereka? Dan mengapa?” soalku.

“Shakir, Nazim, Basith dan Muzakkir. Shakir dan Nazim perlu terlibat dalam aktiviti kolej kediaman mereka. Muzakkir pulang ke rumahnya di Gombak, ada urusan keluarga katanya. Basith pula tidak dapat dikesan. Dah puas kami telefon, tapi tidak berjawab,” sampuk Rahman.

“OK, tidak mengapa. Mungkin sebentar lagi Basith sampai. Kita mulakan dahulu usrah kita ni ya.” Lantas aku membetulkan dudukku dan membuka al-Quran. Memang menjadi kebiasaan, kami akan memulakan usrah dengan membacakan beberapa ayat daripada kitab suci umat Islam ini.

Aku juga tidak tertinggal memasukkan agenda taaruf dalam usrah kali ini. Ada dalam kalangan mereka yang aku pernah bersua sebelum ini dalam beberapa kesempatan program yang aku ikuti. Namun lebih ramai yang aku baru berjumpa buat kali pertama. Aktiviti taaruf yang diadakan benar-benar membangkitkan suasana ceria usrah tersebut memandangkan dalam kalangan mereka ada yang agak humor sifatnya. Mudah-mudahan rukun taaruf yang merupakan salah satu daripada tiga rukun asas dalam pelaksanaan usrah tercapai melaluinya.

“Baiklah. Bagi meneruskan usrah kita hari ini, kita mempersilakan abang Ilman untuk menyampaikan pengisian utamanya,” ujar Muhaimin yang bertindak sebagai pengerusi majlis usrah pada hari ini.

Beberapa jam yang lalu sempat jugalah aku membuat persediaan bahan yang akan disampaikan dalam usrah ini. Mustafa memintaku berkongsi tentang tafsir surah an-Nasr. Buku ‘Tafsir al-Wadhih’ tulisan Dr. Muhammad Mahmud Hijazi dan terbitan Pustaka Salam menjadi pilihan rujukanku. Malah buku itulah yang menjadi rujukan utama bagi bahan-bahan berkaitan tafsir al-Quran dalam silibus usrah peringkat satu dalam sistem tarbiah yang aku turuti ini.

“Surah an-Nasr mengandungi tiga ayat sahaja, dan tergolong dalam surah Madaniyyah,” aku memulakan pembentangan berhubung surah tersebut. “Melalui surah ini, Allah menyampaikan berita gembira buat Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabatnya. Apa berita gembiranya? Iaitu Allah akan memberikan pertolongan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan pengikutnya yang berupa kemenangan kepada umat Islam.”

Aku turut berkongsikan kepada mereka sepintas lalu kisah Fathul Makkah yang mempunyai kaitan dengan surah ini. “Pembukaan kota Mekah bermaksud kota Mekah bebas daripada pengaruh, amalan dan cengkaman jahiliah. Sebelum mekah dikuasai oleh umat Islam, kota ini menjadi pusat penyembahan berhala dan amalan-amalan tradisi masyarakat jahiliah yang sememangnya menyimpang jauh daripada ajaran Islam. Kejayaan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat membuka kota Mekah bererti kejayaan umat Islam mengembalikan kesucian Kaabah.”

Wednesday, May 19, 2010

Murabbi Kampus - episod 1

Oleh Wan Am

Pagi hari minggu itu tidaklah terlalu berbeza berbanding pagi hari-hari minggu sebelumnya. Matahari sudah naik sepenggalah, dan ada insan-insan di dalam kamar ini yang masih lena diulit mimpi. Pada hari biasa yang lain mana ada peluang untuk melajakkan tidur sebegini. Kadang-kadang seusai dinihari sudah perlu bergegas ke dewan kuliah, jika perlu menghadap pengajaran pensyarah seawal jam sembilan. Sebelum itu perut pula minta diisi terlebih dahulu.

Namun pagi hari minggu ini ada sedikit beda buat diriku. Ada kerja yang hendakku bereskan. Memenuhi minat, mencakup juga rasa tanggungjawab kepada manusia dan alam.

“Kau tengah buat apa tu, Man?”

Sekonyong-konyong Mustafa menyapa dari belakang. Aku sedikit tersentak.

“Oh, kau Mus. Aku sedang menaip berita. Kau tahu kan aku ke Stadium Malawati di Shah Alam malam tadi, ada perhimpunan perdana sempena isu Palestin. Aku nak hantar berita ni ke portal berita Muslim Kini. Boleh la tambah sedikit pendapatan sampingan,” aku memberitahu, sambil jari-jariku rancak menekan papan kekunci komputer riba milikku.

“Oh ya. Hm..”

“Kenapa Mus? Macam ada sesuatu aje..” Aku menoleh ke arah Mustafa. Dia seakan berfikir tentang sesuatu.

“Ada bantuan yang aku perlukan daripada kau la.”

“Ha, apa dia? Beritahu sajalah.”

“Begini,” Mustafa berhenti beberapa saat sebelum menyambung bicaranya. “Sepatutnya petang ni aku ada usrah dengan anak-anak usrah aku. Tapi aku tak dapat hadirlah, Tiba-tiba sahaja pensyarah aku ingin buat kelas ganti.”

“Jadi?” Tanyaku sambil cuba meneka isi hati sahabatku ini.

“Aku nak minta kau ganti aku, jadi naqib untuk anak-anak usrah aku semasa usrah mereka petang ni. Boleh?”

“Eh, aku mana ada pengalaman bawa usrahlah. Macamlah engkau tak tahu. Aku masuk usrah ni pun baru setahun lebih, bukan macam kau.” Seketika aku terimbas saat-saat awal aku menghadiri usrah, sejenis aktiviti yang sebelumnya agak asing bagiku. Penyertaanku dalam aktiviti usrah ini adalah hasil ajakan Mustafa, rakan sebilikku di Kolej Kediaman Merbau sewaktu aku dalam semester pertama pada tahun awal pengajianku.

“Setahu aku dalam tiga bulan terakhir ini kau jadi penolong naqib kepada usrah Redhuan kan?” Mustafa tiba-tiba mematikan lamunan singkatku. “ Ha, inilah masanya yang sesuai untuk kau hirup pengalaman pertama sebagai naqib. Kalau tidak sekarang, bila lagi? Lagipun kau dah masuk peringkat kedua dalam sistem usrah kita. Aku rasa tiada masalah untuk kau bawa usrah. Anak-anak usrah aku tu pun masih lagi baru dalam peringkat satu.”

Aku terdiam sejenak. Teringat kepada sepotong firman Allah dalam surah Al-Fusilat ayat 33 yang baru aku hafal minggu lalu:

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal salih dan berkata: Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri?”

“Man, ini peluang kita untuk merebut pahala daripada-Nya. Jangan kau tak tahu, membawa usrah ni kan sunnah ar-Rasul? Aku juga harap kau tak lupa dengan segala perkara yang kita peroleh dalam daurah pemantapan murabbi yang kita ikuti baru-baru ini.”

Ya, aku tidak lupa dengan ilmu-ilmu yang aku peroleh dalam daurah tersebut. Kata-kata Ustaz Malik yang menyampaikan pembentangan dalam daurah tersebut juga masih terngiang-ngiang di telinga, “Misi penciptaan kita di atas dunia ini tidak lain kecuali menjadi rahmat kepada sekalian alam. Rahmatnya kita adalah dalam konteks memberikan kebaikan dan manfaat yang sebesar-besarnya kepada masyarakat.”