Sunday, September 7, 2008

Ramadhan dan Beberapa Saranan


Salam,

Di sini aku kongsikan satu artikel mengenai Ramadhan yang akan aku sampaikan kepada para kakitangan syarikat Jurukur Setia Sdn. Bhd. dan syarikat Geoinfo Sdn. Bhd. tengahari ini.

Moga bermanfaat buat teman semua.

-WaN aM-
080908


Beberapa Saranan Sepanjang Bulan Ramadhan

Berikut adalah saranan-saranan yang dianjurkan oleh Islam untuk dilaksanakan oleh setiap individu Muslim yang berpuasa sepanjang bulan Ramadhan:

i. Menjauhkan diri daripada segala perkara yang merosakkan ibadah puasa seperti mengumpat, mencela, mencaci, memaki, mencarut dan sebagainya. Biasakan diri supaya kurang bercakap di bulan Ramadhan.

ii. Mengurangkan makan dan minum pada waktu berbuka dan bersahur.

iii. Meningkatkan keazaman untuk bersungguh-sungguh dalam beribadah dan mengurangkan tidur pada siang hari, sebaliknya melakukan aktiviti-aktiviti yang berfaedah.

iv. Menjaga hati daripada memikirkan keinginan-keinginan syahwat dan perkara-perkara yang hina.

v. Sentiasa mengingatkan bencana akhirat, lantaran kecuaian dan kelalaian kita dalam melaksanakan perintah Allah.

vi. Menimbulkan perasaan bimbang samada ibadah puasa dan ibadah-ibadah lain diterima atau ditolak oleh Allah.

vii. Pastikan kita menyediakan ‘Tabung Ramadhan’ dengan memperuntukkan sehari sebanyak RM1.00 untuk sedekah di jalan Allah.

viii. Pastikan kita dapat mendirikan solat Dhuha dan qiamullail sepanjang Ramadhan, sekurang-kurangnya dua rakaat solat Dhuha, dua rakaat solat Tahajjud dan satu rakaat solat Witir.

ix. Muslim dianjurkan membawa anak lelaki untuk solat Subuh di masjid dan muslimat solat berjemaah di rumah.

x. Membaca Al-Quran sekurang-kurangnya satu juzuk setiap hari.

xi. Beriktikaf pada sepuluh malam terakhir Ramadhan dan sekurang-kurangnya sehari semalam (24 jam) pada sepuluh hari terakhir.

xii. Pastikan supaya tidak berlaku pembaziran semasa menyediakan juadah berbuka puasa, bersahur dan ketika membuat persediaan menyambut hari raya.

xiii. Mengadakan ‘Iftar Jama’ei’ dengan menjemput beberapa orang ahli keluarga, jiran, sahabat-handai dan lain-lainnya untuk berbuka puasa di rumah kita mengikut kemampuan.

xiv. Pastikan kita menyambut kedatangan Ramadhan dengan penuh suasana ibadah seperti tadarrus Al-Quran di kalangan anak-anak, membuat tabungan untuk disedekahkan kepada mereka yang memerlukan bantuan dan memasang kain rentang atau menampal ‘kata-kata peransang’ berkaitan Ramadhan untuk melahirkan rasa kegembiraan menyambut bulan yang mulia ini.

xv. Melaksanakan solat Tarawikh dengan bersungguh-sungguh dan sesempurna mungkin, dengan melibatkan penyertaan semua ahli keluarga.


No comments: