Tuesday, April 19, 2011

Mana Milik Kita?

Baru-baru ini negara Jepun dilanda bencana. Gempa bumi berukuran 8.9 pada skala ricther bukan sekadar menggegar sebahagian negara Matahari Terbit tersebut, bahkan turut membawa gelombang tsunami yang meranapkan bangunan, infrastruktur, malah nyawa mereka yang berada dalam laluannya. Rakyat yang terbabit diulit derita. Bekalan makanan, air dan elektrik terganggu seketika. Udara pula menjadi tercemar dek kebocoran loji nuklear. Harta-benda berharga musnah dimamah bah besar. Dalam sekelip mata nikmat-nikmat kehidupan hilang dari pandangan.

Kejadian tersebut menggamit ingatan saya kepada peristiwa tsunami yang berlaku pada penghujung Disember 2004 di beberapa tempat di dunia. Aceh paling merana. Beratus ribu rakyat terkorban. Saya sendiri berkesempatan menyertai misi dakwah dan kemanusiaan ke Meulaboh, Aceh beberapa bulan selepas kedatangan "tetamu" yang tidak diundang. Sebahagian besar kawasan yang sebelumnya dipenuhi bangunan dan rumah-rumah kediaman, bertukar menjadi padang jarak padang tekukur. Memang rakyat Aceh derita, namun mereka pasrah dan sesekali tidak berputus asa. Mereka bingkas bangkit kembali membina penghidupan yang lebih bermakna.

Kita yang berada di Malaysia wajar bersyukur kerana masih belum benar-benar diuji oleh Allah dengan musibah sedemikian rupa. Malah, kita lebih dituntut untuk bersyukur kerana Tuhan yang bersifat ar-Rahman terus-menerus memberikan nikmat-nikmatnya kepada kita. Ketika kita terjaga dari lena di pagi hari hinggalah menutup mata semula pada sebelah malamnya, juga sejak kita lahir ke dunia ini hinggalah tiba masa kita melangkah ke alam barzakh nanti, tidak putus-putus nikmat Allah mengalir dalam hidup kita, sama ada nikmat itu ada pada diri kita mahupun datang dari luar diri kita.

"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya." (Ibrahim : 34)

Cuba kita muhasabah sejenak tentang nikmat-nikmat Allah pada diri kita, antaranya nikmat penglihatan. Bayangkan jika Allah datangkan kita ke dunia tanpa nikmat ini, sudah pasti kita tidak dapat melihat kehebatan dan keindahan ciptaan-Nya di atas muka bumi. Juga tidak berpeluang menyaksikan segala peristiwa penting yang berlaku di sekeliling kita. Malah, kalau hendak ke mana-mana, perlu pula seseorang untuk memimpin kita. Ini sudah menyusahkan orang lain pula. Jelaslah, betapa sengsaranya hidup tanpa nikmat mata yang sempurna sifatnya.

"Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah? Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya. Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendaki-Nya, Dia menyusun kejadianmu." (al-Infitar : 6-8)

Sebab itu Allah memerintahkan kita supaya sentiasa melafazkan rasa syukur terhadap segala nikmat yang telah diberikan-Nya kepada kita. Hinggakan Allah turut menjanjikan redha-Nya kepada mereka yang bersyukur. Dalam hal ini Sulaiman at-Taimi pernah berkata, "Allah mengurniakan nikmat kepada hamba-hamba-Nya menurut ketentuan-Nya. Justeru Dia menyuruh mereka agar bersyukur menurut kemampuan mereka, sehingga Dia redha terhadap mereka disebabkan kesyukuran tersebut. Mereka melaksanakan kesyukuran melalui hati yang memperakui dan lidah yang memuji nikmat kurniaan Allah."

Selain bersyukur, bersifat pemurah juga amat digalakkan oleh Islam kepada kita yang mungkin memiliki sedikit lebihan nikmat. Alangkah baiknya jika bahagian kita hanya sekadar yang kita perlu sahaja, selebihnya kita bahagi-bahagikan kepada mereka yang memerlukan. Selain pemberian wajib seperti zakat, ringan-ringankanlah juga tangan kita untuk bersedekah, menderma dan memberi hadiah, malah mewakafkan harta seperti tanah, bangunan, kebun, bahan-bahan bacaan dan lain-lain lagi demi kepentingan masyarakat dan ummah.

Firman Allah yang maksudnya:

"Belanjakanlah (hartamu) pada jalan Allah dan janganlah kamu jatuhkan dirimu ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berbuat baik." (al-Baqarah : 195)

Rasulullah s.a.w. juga ada bersabda yang bermaksud:

"Orang yang pemurah itu dekat dengan Allah, dekat dengan manusia dan jauh daripada api neraka. Orang yang kedekut itu jauh daripada Allah, jauh daripada manusia dan dekat dengan neraka. Sesungguhnya orang yang bodoh tetapi pemurah itu lebih disayangi Allah daripada seorang abid yang bakhil." (Riwayat Tirmizi)

Bagaimana caranya untuk menyemai sifat pemurah? Kisah Fatimah puteri Rasulullah s.a.w. boleh dijadikan teladan. Beliau hidup dalam kemiskinan, namun setiap hari beliau akan memberikan sebiji kurma sebagai sedekah. Kadangkala beliau memberi kepada orang lain walaupun ketika itu beliau sendiri amat memerlukan. Inilah cara Fatimah melatih dirinya bersifat pemurah, iaitu istikamah dalam memberi walau sedikit. Malah kemiskinan tidak menghalang beliau untuk melaksanakan amal sedekah.

Justeru, ayuh kita perhebatkan rasa syukur kepada Tuhan, juga menyemai sifat pemurah kepada mereka yang memerlukan. Kita pastikan kedua-duanya saling berjalan seiringan dalam kehidupan kita seharian. Sedarlah kita bahawa kereta besar, rumah besar dan wang yang banyak yang kita miliki serta tubuh badan yang sihat hanyalah sekadar pinjaman. Ia bukanlah hak mutlak kita. Semua itu ada tuannya. Bila-bila masa sahaja semua itu akan hilang bak debu yang berterbangan jika kita kufur dengan nikmat-Nya.

Renungilah kata-kata Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim, bekas vokalis kumpulan nasyid Rabbani dalam salah sebuah nasyid gubahannya sendiri yang sempat beliau rakam semula sebelum beliau meninggal dunia, "Mana milik kita, tidak ada milik kita, semua yang ada, Allah yang punya..."

No comments: