Saturday, April 16, 2011

Menanam Benih Sedekah

Mengikut satu laporan, sejak tahun kemerdekaan kadar kemiskinan di Malaysia telah dapat dikurangkan daripada 50 peratus kepada 3.6 peratus (berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan [PGK] atau Poverty Line Income [PLI] yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM750.00) pada 2007. Pencapaian yang disifatkan sebagai 'luar biasa' ini diakui oleh pertubuhan antarabangsa, hinggakan Malaysia diiktiraf sebagai negara yang telah berjaya mengatasi penandarasan kemiskinan 8.25 peratus seperti yang ditetapkan oleh United Nations Development Programme (UNDP) di bawah Millennium Development Goals bagi tahun 2015. Nampaknya hal ini jualah yang menjadi modal kepada para pemimpin tertentu untuk dicanangkan kepada rakyat bahawa negara kita berjaya dalam matlamatnya untuk membasmi kemiskinan.

Melalui artikel ini tidaklah saya berniat untuk mengiyakan mahupun mempertikai kejayaan yang dicapai oleh Kerajaan Malaysia ini. Dari sudut positif, sememangnya kita bersyukur atas nikmat keamanan, pembangunan dan kemajuan yang sedang kita kecapi pada hari ini, memandangkan perkara-perkara tersebut adalah sesuatu yang dituntut dalam Islam dan menjadi satu keperluan hidup yang semestinya dihargai oleh kita semua. Malah dengan keamanan dan kemajuanlah usaha negara ke arah melahirkan rakyat yang berilmu pengetahuan, berketrampilan,berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan akan lebih mudah direalisasikan.

Namun, di sebalik semua itu, kita juga merasa sedih dan gusar kerana di negara Malaysia yang telah lebih setengah abad merdeka ini masih ada warganya yang hidup melarat dan diselubungi penderitaan yang tiada kesudahan. Dalam akhbar-akhbar arus perdana tempatan misalnya, kerapkali disiarkan kesengsaraan mereka ini yang seolah-olah tidak mendapat perhatian daripada pihak yang sepatutnya memelihara kebajikan mereka. Cubalah pula tonton rancangan "Bersamamu" terbitan TV3, anda pasti akan berhadapan dengan realiti hidup masyarakat yang cukup menginsafkan. Bagi insan yang diberikan kenikmatan dan kelebihan, perhatikanlah insan-insan kita di sekeliling kita, kerana masih ada dalam kalangan mereka yang wajib dibantu.

Seperti yang saya sebutkan dalam artikel sebelum ini, Allah s.w.t. sentiasa melorongkan peluang yang banyak untuk kita beramal salih. Seorang yang mempunyai kelebihan harta pula akan lebih mudah untuk melakukan amal salih tersebut. Antaranya ialah dengan melaksanakan amalan bersedekah, iaitu membantu mereka yang dalam kesulitan dan kemiskinan semata-mata kerana Allah.

Sedikit definisi mengenai sedekah. Perkataan sedekah berasal daripada bahasa Arab iaitu 'sadaqah', bermaksud sesuatu yang diberikan. Dari segi istilah, sedekah bererti pemberian yang tujuannya adalah mengharapkan pahala daripada Allah. Ahmad 'Athiyatullah dalam bukunya "al-Qamus al-Islami" telah menyatakan, "Sedekah adalah segala sesuatu yang diberikan dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah tanpa wujud perasaan kesal ataupun benci."

Kata sedekah juga diambil daripada kata 'sadaqa' atau as-sidqu' yang bermaksud benar atau jujur dalam perkataan dan perbuatan. Sedekah diperintahkan kerana amalan ini membuktikan seseorang hamba itu benar-benar menjadikan hidupnya untuk beribadah kepada Allah. Dalam hal ini Allah berfirman:

"Wahai orang yang beriman, sedekahkanlah sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik..." (al-Baqarah : 267)

Setiap amal perbuatan yang diperintahkan Allah untuk dikerjakan pasti ada balasannya, bukan setakat di dunia malah juga di akhirat. Begitu jugalah dengan sedekah. Amalan bersedekah mempunyai banyak fadilat (keutamaan) dan kelebihan kepada para pelakunya, sepertimana diterangkan dalam al-Quran dan hadis Nabi Muhammad s.a.w. Hasan bin Ahmad Hasan Umam dalam buku karangannya "al-Tadawi bi al-Shadaqah" (Berubat Dengan Sedekah) telah menyenaraikan keutamaan-keutamaan sedekah tersebut seperti berikut:

1. Sedekah sebagai pembersih dan pensuci hati

"Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (at-taubah : 103)

2. Sedekah memenuhi perintah Allah dan rasul-Nya

"Katakanlah kepada hamba-hamba-Ku yang beriman hendaklah mereka mendirikan sembahyang dan mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, sama ada dengan merahsiakan pemberiannya itu atau dengan terbuka; sebelum datangnya hari yang tidak ada jual beli padanya, dan tidak ada sahabat handai (yang dapat memberikan pertolongan)." (Ibrahim : 31)

3. Dengan bersedekah orang mukmin mendapat perlindungan pada hari kiamat

Uqbah bin Amir r.a. meriwayatkan dalam sebuah hadis, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Setiap orang akan mendapatkan naungan dari sedekahnya, sehingga diputuskan perkara bagi setiap manusia." (Riwayat Ibnu Khuzaimah dengan isnad sahih menurut Imam Muslim)

4. Sedekah melindungi diri daripada bahaya dan musibah serta menolak su'ul khatimah (kematian yang buruk)

Abu Umamah r.a. berkata: Rasulullah bersabda:

"Perbuatan baik akan menjaga (diri) daripada kematian yang buruk, sedekah secara sembunyi-sembunyi akan memadamkan kemarahan Tuhan dan silaturahim akan memanjangkan umur." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

5. Sedekah merupakan bukti kebenaran iman

Sabda Nabi s.a.w.:

"...Solat adalah cahaya, sedekah adalah bukti (di atas kebenaran keimanan), sabar adalah penerang dan al-Quran adalah dalil bagi kamu..." (Riwayat Muslim)

6. Sedekah menyelamatkan seorang Muslim daripada belenggu hati

Ada hadis daripada Nabi s.a.w. tentang Nabi Yahya a.s.:

"Aku memerintahkan kamu bersedekah. Perumpamaan perkara itu sama seperti seorang lelaki yang ditawan oleh musuh. Mereka mengikat tangannya terbelenggu ke lehernya. Maka berkatalah (sedekah): 'Aku menebusnya dari kamu banyak atau sedikit. Sehingga (sedekah) menebus dirinya dari mereka.'" (Riwayat a-Tirmizi)

7. Allah Taala akan menggantikan harta orang yang bersedekah

"Katakanlah (wahai Muhammad): Sesunggunya Tuhanku meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya, dan Dia juga yang menyempitkan baginya, dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki." (Saba : 39)

8. Pahala sedekah sentiasa mengalir kepada orang yang bersedekah, walaupun selepas dia meninggal dunia

Nabi s.a.w. bersabda:

"Apabila anak Adam (manusia) telah meninggal dunia, maka putuslah segala amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak salih yang mendoakan kepadanya." (Riwayat Muslim)

9. Sedekah menghapus kesalahan (dosa)

Muadz bin Jabal r.a. meriwayatkan dalam perkataannya bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sedekah akan memadamkan kesalahan (dosa), sebagaimana air memadamkan api." (Riwayat at-Tirmizi)

Amalan bersedekah juga bukan sekadar memberikan kebaikan kepada seseorang individu yang melaksanakannya, malah turut memberikan banyak manfaat kepada masyarakat. Seperti yang dinukilkan oleh Ibrahim Muhammad al-Dhabi'i dalam bukunya "Al-Sadaqat wa Atharuha 'ala al-Fard wa al-Mujtama'", antara manfaat sedekah dalam konteks bermasyarakat ialah:

1. Sebagai salah satu penyelesaian dalam menangani masalah kemiskinan.
2. Menghilangkan dendam orang miskin yang merasa haknya dirampas oleh orang-orang kaya.
3. Menghilangkan perasaan dengki orang miskin terhadap orang kaya.
4. Menghindari perbuatan jenayah.

Justeru, ayuh kita budayakan amalan bersedekah dalam kehidupan. Ingatlah, orang yang bersedekah adalah seperti orang yang menanam benih kebaikan. Buahnya akan mereka nikmati pada hari akhirat nanti hasil daripada amalan sedekah yang disuburkannya di dunia ini.

No comments: