Showing posts with label Tarbiah. Show all posts
Showing posts with label Tarbiah. Show all posts

Saturday, April 16, 2011

Memberi Dari Kaca Mata Mereka...

Selain al-Quran dan hadis yang banyak menyebut tentang sedekah, sahabat Rasulullah s.a.w. dan ulama salaf juga ada mengutarakan pandangan mereka berkenaan amalan bersedekah, sebagai tanda mengakui kemuliaan amalan ini serta memotivasikan umat Islam yang lain supaya tidak memperkecilkan amalan tersebut.

Dalam artikel kali ini saya perturunkan kalam-kalam hikmah mereka yang saya peroleh daripada beberapa sumber, moga-moga menjadikan kita hamba Allah yang tidak bertangguh-tangguh lagi untuk bersedekah dan memberi kepada mereka yang memerlukan:

Umar bin al-Khattab r.a. - "Semua perbuatan baik akan saling membanggakan diri; lalu sedekah berkata: 'Akulah yang paling utama di antara kamu semua.'"

Uthman bin Affan r.a. - "Berniagalah dengan Allah melalui sedekah, pasti kamu akan beruntung."

Ali bin Abu Talib r.a. - "Hiasilah imanmu dengan sedekah, lindungilah hartamu dengan zakat, dan hindarilah bencana dengan doa!"

Ibnu Mas'ud r.a. - "Satu dirham yang kamu sedekahkan dalam keadaan sihat dan kuat adalah lebih baik berbanding seratus dirham yang kamu wasiatkan menjelang kematianmu."

Salman al-Farisi r.a. - Jika seorang yang murah hati meninggal dunia, maka bumi dan para malaikat akan berkata: 'Ya Allah, ampunkanlah hamba-hamba-Mu ini kerana kemurahan hatinya.' Jika orang yang kedekut meninggal dunia, maka mereka akan berkata: 'Ya Allah, halanglah dia dari syurga sebagaimana dia menghalang orang lain dari apa yang ada di tangannya.'"

Abdul Aziz bin Umair - "Solat akan menghantarmu menempuhi setengah perjalanan, puasa menghantarmu ke pintu Allah, dan sedekah memasukkanmu ke dalam syurga."

Yahya bin Muadz - "Tidak ada amal yang sekecil biji zarah yang boleh menyamai berat gunung-ganang di dunia kecuali sedekah."

al-Baihaqi - "Mintalah rezeki dengan bersedekah."

Hassan al-Basri - "Sahabat yang paling baik adalah dinar dan dirham yang kamu sedekahkan."

Abdullah bin Jaafar - "Orang yang murah hati adalah yang memberi tanpa diminta. Dia memberikan sesuatu kepadamu kerana kemahuannya sendiri. Sesungguhnya kesedaran untuk memberi sedekah adalah lebih berat berbanding memberi sedekah kepada seseorang yang meminta."

al-Sya'bi - "Sesiapa yang tidak menyedari bahawa dirinya lebih memerlukan pahala sedekah berbanding orang miskin yang memerlukan sedekahnya, maka sedekahnya itu sia-sia belaka, dan wajahnya akan dipukul dengan sedekah itu pada hari kiamat nanti."

Ahmad al-Rifa'i - "Selawat kepada Rasulullah s.a.w. akan mempermudah jaln di atas sirat dan membuatkan doa dikabulkan. Begitu juga sedekah yang akan memadamkan kemurkaan Allah."

Bukan sahaja orang Islam, malah orang-orang bukan Islam juga turut mengakui kebaikan amalan memberi ini. Melalui pembacaan saya dalam buku "Ajaibnya Sedekah" hasil karya Muhammad Muhyidin, saya telah menemui beberapa mutiara kata daripada beberapa tokoh dan sarjana bukan Islam mengenai kebaikan amalan memberi. Mungkin sesuai juga untuk saya kongsikan di sini sebagai manfaat kita bersama:

Leonard Nimoy - "Semakin banyak kita memberi, semakin banyak yang kita miliki..."

Glenn van Ekern - "Pelaburan yang kecil tetapi konsisten dapat memberikan hasil berlipat kali ganda. Semangat kedermawanan terungkap dengan sendirinya melalui sikap yang terus mencari jalan memberikan nilai tambah kepada hidup manusia..."

Henry Ford Sr. - "Walaupun ramai orang menghubungkan kejayaan dengan apa yang mereka peroleh, kejayaan itu bermula dengan memberi."

Dr. Kare Messenger - "Kunci rumah saudara dan pergilah ke bawah jambatan. Cari orang yang memerlukan bantuan dan bantulah mereka."

Eric Butterworth - "Orang yang memberi dengan tulus adalah orang yang bahagia, berasa aman, puas dan makmur."

Robert Louis Stevenson - "Jangan mengukur hari berdasarkan hasil yang saudara peroleh, sebaliknya ukurlah berdasarkan benih yang saudara tanam."

Eleanor Roosevelt - "Yang menjadikan kita tetap menikmati hidup dan terus memandang ke masa hadapan adalah kerana tujuan kita mahu memberikan kebahagiaan kepada orang lain. Kebahagiaan bukanlah tujuan, melainkan ia adalah hasil sampingan."

George Washington Carver - "Berapa jauh perjalanan saudara dalam hidup ini bergantung pada adakah saudara bersikap lembut kepada yang lebih muda, bersikap kasih kepada yang lebih tua, bersimpati kepada orang yang perlu berjuang lebih keras dan bertimbang rasa kepada yang lemah dan yang kuat kerana pada suatu hari dalam hidup ini, saudara menjadi salah seorang daripada mereka."

Lao Tse - "Keramahan dalam bertutur kata menciptakan keyakinan diri, keramahan dalam berfikir menciptakan kesempurnaan dan keramahan dalam memberi melahirkan kasih."

Menanam Benih Sedekah

Mengikut satu laporan, sejak tahun kemerdekaan kadar kemiskinan di Malaysia telah dapat dikurangkan daripada 50 peratus kepada 3.6 peratus (berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan [PGK] atau Poverty Line Income [PLI] yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM750.00) pada 2007. Pencapaian yang disifatkan sebagai 'luar biasa' ini diakui oleh pertubuhan antarabangsa, hinggakan Malaysia diiktiraf sebagai negara yang telah berjaya mengatasi penandarasan kemiskinan 8.25 peratus seperti yang ditetapkan oleh United Nations Development Programme (UNDP) di bawah Millennium Development Goals bagi tahun 2015. Nampaknya hal ini jualah yang menjadi modal kepada para pemimpin tertentu untuk dicanangkan kepada rakyat bahawa negara kita berjaya dalam matlamatnya untuk membasmi kemiskinan.

Melalui artikel ini tidaklah saya berniat untuk mengiyakan mahupun mempertikai kejayaan yang dicapai oleh Kerajaan Malaysia ini. Dari sudut positif, sememangnya kita bersyukur atas nikmat keamanan, pembangunan dan kemajuan yang sedang kita kecapi pada hari ini, memandangkan perkara-perkara tersebut adalah sesuatu yang dituntut dalam Islam dan menjadi satu keperluan hidup yang semestinya dihargai oleh kita semua. Malah dengan keamanan dan kemajuanlah usaha negara ke arah melahirkan rakyat yang berilmu pengetahuan, berketrampilan,berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan akan lebih mudah direalisasikan.

Namun, di sebalik semua itu, kita juga merasa sedih dan gusar kerana di negara Malaysia yang telah lebih setengah abad merdeka ini masih ada warganya yang hidup melarat dan diselubungi penderitaan yang tiada kesudahan. Dalam akhbar-akhbar arus perdana tempatan misalnya, kerapkali disiarkan kesengsaraan mereka ini yang seolah-olah tidak mendapat perhatian daripada pihak yang sepatutnya memelihara kebajikan mereka. Cubalah pula tonton rancangan "Bersamamu" terbitan TV3, anda pasti akan berhadapan dengan realiti hidup masyarakat yang cukup menginsafkan. Bagi insan yang diberikan kenikmatan dan kelebihan, perhatikanlah insan-insan kita di sekeliling kita, kerana masih ada dalam kalangan mereka yang wajib dibantu.

Seperti yang saya sebutkan dalam artikel sebelum ini, Allah s.w.t. sentiasa melorongkan peluang yang banyak untuk kita beramal salih. Seorang yang mempunyai kelebihan harta pula akan lebih mudah untuk melakukan amal salih tersebut. Antaranya ialah dengan melaksanakan amalan bersedekah, iaitu membantu mereka yang dalam kesulitan dan kemiskinan semata-mata kerana Allah.

Sedikit definisi mengenai sedekah. Perkataan sedekah berasal daripada bahasa Arab iaitu 'sadaqah', bermaksud sesuatu yang diberikan. Dari segi istilah, sedekah bererti pemberian yang tujuannya adalah mengharapkan pahala daripada Allah. Ahmad 'Athiyatullah dalam bukunya "al-Qamus al-Islami" telah menyatakan, "Sedekah adalah segala sesuatu yang diberikan dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah tanpa wujud perasaan kesal ataupun benci."

Kata sedekah juga diambil daripada kata 'sadaqa' atau as-sidqu' yang bermaksud benar atau jujur dalam perkataan dan perbuatan. Sedekah diperintahkan kerana amalan ini membuktikan seseorang hamba itu benar-benar menjadikan hidupnya untuk beribadah kepada Allah. Dalam hal ini Allah berfirman:

"Wahai orang yang beriman, sedekahkanlah sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik..." (al-Baqarah : 267)

Setiap amal perbuatan yang diperintahkan Allah untuk dikerjakan pasti ada balasannya, bukan setakat di dunia malah juga di akhirat. Begitu jugalah dengan sedekah. Amalan bersedekah mempunyai banyak fadilat (keutamaan) dan kelebihan kepada para pelakunya, sepertimana diterangkan dalam al-Quran dan hadis Nabi Muhammad s.a.w. Hasan bin Ahmad Hasan Umam dalam buku karangannya "al-Tadawi bi al-Shadaqah" (Berubat Dengan Sedekah) telah menyenaraikan keutamaan-keutamaan sedekah tersebut seperti berikut:

1. Sedekah sebagai pembersih dan pensuci hati

"Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (at-taubah : 103)

2. Sedekah memenuhi perintah Allah dan rasul-Nya

"Katakanlah kepada hamba-hamba-Ku yang beriman hendaklah mereka mendirikan sembahyang dan mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, sama ada dengan merahsiakan pemberiannya itu atau dengan terbuka; sebelum datangnya hari yang tidak ada jual beli padanya, dan tidak ada sahabat handai (yang dapat memberikan pertolongan)." (Ibrahim : 31)

3. Dengan bersedekah orang mukmin mendapat perlindungan pada hari kiamat

Uqbah bin Amir r.a. meriwayatkan dalam sebuah hadis, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Setiap orang akan mendapatkan naungan dari sedekahnya, sehingga diputuskan perkara bagi setiap manusia." (Riwayat Ibnu Khuzaimah dengan isnad sahih menurut Imam Muslim)

4. Sedekah melindungi diri daripada bahaya dan musibah serta menolak su'ul khatimah (kematian yang buruk)

Abu Umamah r.a. berkata: Rasulullah bersabda:

"Perbuatan baik akan menjaga (diri) daripada kematian yang buruk, sedekah secara sembunyi-sembunyi akan memadamkan kemarahan Tuhan dan silaturahim akan memanjangkan umur." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

5. Sedekah merupakan bukti kebenaran iman

Sabda Nabi s.a.w.:

"...Solat adalah cahaya, sedekah adalah bukti (di atas kebenaran keimanan), sabar adalah penerang dan al-Quran adalah dalil bagi kamu..." (Riwayat Muslim)

6. Sedekah menyelamatkan seorang Muslim daripada belenggu hati

Ada hadis daripada Nabi s.a.w. tentang Nabi Yahya a.s.:

"Aku memerintahkan kamu bersedekah. Perumpamaan perkara itu sama seperti seorang lelaki yang ditawan oleh musuh. Mereka mengikat tangannya terbelenggu ke lehernya. Maka berkatalah (sedekah): 'Aku menebusnya dari kamu banyak atau sedikit. Sehingga (sedekah) menebus dirinya dari mereka.'" (Riwayat a-Tirmizi)

7. Allah Taala akan menggantikan harta orang yang bersedekah

"Katakanlah (wahai Muhammad): Sesunggunya Tuhanku meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya, dan Dia juga yang menyempitkan baginya, dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki." (Saba : 39)

8. Pahala sedekah sentiasa mengalir kepada orang yang bersedekah, walaupun selepas dia meninggal dunia

Nabi s.a.w. bersabda:

"Apabila anak Adam (manusia) telah meninggal dunia, maka putuslah segala amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak salih yang mendoakan kepadanya." (Riwayat Muslim)

9. Sedekah menghapus kesalahan (dosa)

Muadz bin Jabal r.a. meriwayatkan dalam perkataannya bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sedekah akan memadamkan kesalahan (dosa), sebagaimana air memadamkan api." (Riwayat at-Tirmizi)

Amalan bersedekah juga bukan sekadar memberikan kebaikan kepada seseorang individu yang melaksanakannya, malah turut memberikan banyak manfaat kepada masyarakat. Seperti yang dinukilkan oleh Ibrahim Muhammad al-Dhabi'i dalam bukunya "Al-Sadaqat wa Atharuha 'ala al-Fard wa al-Mujtama'", antara manfaat sedekah dalam konteks bermasyarakat ialah:

1. Sebagai salah satu penyelesaian dalam menangani masalah kemiskinan.
2. Menghilangkan dendam orang miskin yang merasa haknya dirampas oleh orang-orang kaya.
3. Menghilangkan perasaan dengki orang miskin terhadap orang kaya.
4. Menghindari perbuatan jenayah.

Justeru, ayuh kita budayakan amalan bersedekah dalam kehidupan. Ingatlah, orang yang bersedekah adalah seperti orang yang menanam benih kebaikan. Buahnya akan mereka nikmati pada hari akhirat nanti hasil daripada amalan sedekah yang disuburkannya di dunia ini.

Thursday, April 14, 2011

Mulianya Tangan yang Memberi...

Suatu petang semasa dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja, saya mendapat panggilan telefon daripada isteri yang berpesan supaya membelikan makanan malam. Hari itu hari Rabu. Maka dengan pantas saya membuat keputusan untuk mencari juadah di pasar malam yang dibuka tidak jauh dari teratak kami.

Sesampai sahaja di pasar malam tersebut, saya bergegas mencari gerai tempat biasa saya membeli makanan kegemaran saya. Selepas berjalan beberapa langkah, tiba-tiba pandangan saya tertumpu ke arah satu susuk tubuh manusia yang sedang bersusah-payah mengesot ke sana sini dengan menggunakan tangannya (lantaran kedua-dua belah kakinya kudung), sambil menghulurkan satu bekas kecil kepada orang ramai yang lalu-lalang. Beberapa detik kemudian kelihatan insan budiman yang memasukkan sesuatu ke dalam bekas tersebut yang saya percaya terisi duit-duit syiling yang jumlahnya tidaklah sampai mencecah Ringgit Malaysia Satu.

"Mulianya tangan yang memberi..." getus hati kecil saya. Tidak kisahlah, walaupun dermanya itu bernilai hanya beberapa sen sahaja. Kerana saya tahu bukan mudah untuk kita memberikan sesuatu yang kita punyai kepada orang lain. Mungkin pada waktu itu insan yang memberi itu hanya mempunyai wang sebanyak itu sahaja, lalu disedekahkan kesemua yang masih tinggal. Jika begitulah keadaannya, lebih tinggilah martabatnya di sisi Tuhan.

Sememangnya Allah telah menyediakan pelbagai cara untuk manusia meraih pahala buat bekalan di akhirat kelak. Bahkan Allah yang Maha Pemurah juga sentiasa memberikan ganjaran pahala yang berganda-ganda kepada hamba-Nya yang mengerjakan amal kebajikan. Justeru, antara amal salih yang boleh menggandakan pahala kita serta menghapuskan dosa-dosa kecil yang pernah kita lakukan ialah amalan bersedekah.

Bersedekah adalah satu sifat terpuji di sisi Allah. Amalan bersedekah ini dapat menyucikan hati seseorang insan, malah mempunyai kelebihan dan fadhilatnya yang tersendiri. Amalan bersedekah juga dipercayai mampu menjadi terapi untuk menyembuhkan sesuatu penyakit, menambahkan rezeki, malah mempunyai rahsia untuk menolak bencana.

Islam amat menitik-beratkan umatnya agar melatih diri untuk bersedekah, biarpun nilai sedekah yang diberikan tidaklah sebesar mana. Seperti kata pengkarya kitab "Tanbihul Ghafilin", Imam Samarqandy, "Biasakan diri anda untuk terus bersedekah, baik dalam jumlah kecil mahupun besar. Kerana dalam sedekah itu ada sepuluh manfaat; lima akan diberikan di dunia, dan lima lagi akan diberikan di akhirat kelak."

Bukan susah bagi kita mencari peluang untuk bersedekah. Di sekeliling kita ada sahaja insan-insan yang amat memerlukan. Malah, mereka itu mungkin sahaja sahabat-handai kita, atau jiran tetangga kita. Tidak mustahil juga mereka yang perlu dibantu itu adalah saudara sedarah daging kita.

Dalam konteks ini, seperti yang dijelaskan oleh Imam as-Sayuthi, pemberian yang diberikan kepada orang yang sihat tubuh badannya serta tidak berhajat kepada sedekah akan diberikan balasan sepuluh kali ganda. Tambah beliau lagi, sedekah yang diberikan balasan 90 kali ganda pula akan dianugerahkan kepada pemberian yang diberikan kepada orang buta dan orang yang terkena musibah (iaitu yang memerlukan bantuan), manakala pemberian yang diberikan kepada kaum kerabat kita yang berhajat akan diganjarkan balasan 900 kali ganda. Lebih hebat lagi ialah sedekah akan diberikan balasan 100,000 kali ganda melalui pemberian yang diberikan kepada ibu bapa, selain balasan 900,000 kali ganda kepada pemberian yang diberikan kepada orang alim atau faqih. SubhanaLlah!

Sedekah seseorang yang ikhlas kerana Allah akan menjadi amalan yang berkekalan walaupun dia sudah meninggal dunia dan akan terus mengalir manfaatnya. Sedekah merupakan perniagaan yang tidak akan merugikan si pelakunya, malah akan mendatangkan keuntungan yang berterusan dan membawa keberkatan selama hidupnya di dunia. Mereka yang gemar bersedekah akan memperoleh kebahagiaan dan akan sentiasa dekat dengan rahmat Allah lantaran kedermawanannya dalam memberikan apa saja yang Allah kurniakan kepadanya.

Keberuntungan ini ditambah lagi oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang berpesan bahawa seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya adalah termasuk dalam tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri (Hadis riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah).

Monday, August 31, 2009

Di Ambang Merdeka 2009

Salam,

Sambutan merdeka tahun 2009 ini ada kelainannya. Jika tahun-tahun sebelum ini saya mengecap pengalaman dalam aktiviti Task Force yang diadakan oleh JIM dan KARISMA setiap kali sambutan kemerdekaan di KLCC, namun kali ini Masjid Negeri, Shah Alam meriah dengan sambutan merdeka yang sangat memberikan pengiktibaran pada diri. Lebih menginsafkan kerana sambutan kali ini berlangsung dalam bulan penuh rahmat, Ramadan al-Mubarak.

Saya sempat meluangkan masa pada malam 30 Ogos 2009, merakamkan detik-detik bersejarah, HIMPUNAN RAMADHAN DI AMBANG MERDEKA 2009...


Saudara Zun Arif Hakim Abdul Rahman, Pengarah Himpunan Ramadhan Di Ambang Merdeka 2009, suatu usahasama oleh gabungan 100 NGO Anak Merdeka, Kerajaan Negeri Selangor, Masjid Negeri, COMPLETE, PACE dan Pro Event


Antara Muslimin dan Muslimat yang hadir


Saudara Muaz (tengah) dan rakan-rakan mengalunkan nasyid berkenaan Al-Aqsa, sebuah nasyid klasik


Hj Shahool Hamed, Senior Fellow PACE menyampaikan perkongsian mengenai isu Palestin


Imam Besar Masjid Negeri, Hj Ahmad Mustafa Mohd Sidin menyampaikan ucapan aluan


Exco Kerajaan Negeri Selangor, YB Rodziah Ismail (tengah) bersama para VIP dalam sesi perkongsian menjelang 12.00 tengah malam


Ikrar Merdeka dikumandangkan, keazaman tersemat untuk menjadi insan dan ahli masyarakat yang lebih baik


Laungan "MERDEKA" diselangi dengan laungan kalimah "ALLAHU AKBAR", penuh bersemangat


Muaz (dua dari kanan) mengetuai bacaan doa sempena sambutan kemerdekaan 2009


-WaN aM-
Pusat Bandar Melawati
020909

Wednesday, August 19, 2009

Ahlan ya Ramadhan!!

Salam,

Alhamdulillah, buku hasil suntingan terbaru saya telah pun terbit!




Sebuah lagi karya bermutu daripada JIMedia yang sangat sesuai ditatap dan dihayati sempena Ramadhan yang bakal tiba.

Ibnu Khuzaimah meriwayatkan dalam sahihnya bahawa Salman al-Farisi r.a. berkata:
Rasulullah s.a.w. telah berkhutbah kepada kami pada hari terakhir bulan Syaaban, baginda bersabda yang maksudnya:

“Wahai manusia, sesungguhnya kamu dibayangi oleh satu bulan yang agung, bulan yang berkat, bulan yang terdapat di dalamnya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bulan yang Allah jadikan berpuasa pada siangnya satu kefardhuan, menghidupkan malamnya dengan qiamullail sebagai satu amalan sunat. Sesiapa yang bertaqarrub kepada Allah pada bulan ini dengan perbuatan yang baik ganjarannya adalah sama seperti seorang yang melakukan tujuh puluh amalan fardhu pada bulan yang lainnya. Ia adalah bulan sabar, dan ganjaran bagi kesabaran ialah syurga. Ia adalah bulan yang rezeki orang mukmin akan bertambah. Sesiapa yang memberi makanan untuk seorang berbuka puasa, sesungguhnya dia mendapat keampunan terhadap dosanya dan pelepasan daripada azab neraka dan dia mendapat ganjaran orang yang berpuasa tanpa ada kekurangan sedikit pun.” Para sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, sesunguhnya tidak semua di kalangan kami ini yang memiliki sesuatu makanan untuk memberi orang yang berpuasa berbuka.” Maka Rasulullah s.a.w. menjawab: “Allah memberi ganjaran seumpama ini bagi sesiapa yang memberi makanan untuk berbuka sama ada sebiji tamar atau dengan seteguk air atau susu. Ia adalah satu bulan yang di awalnya adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan dan penghujungnya adalah pelepasan daripada api neraka. Maka perbanyakkanlah padanya dengan empat perkara: dua daripadanya akan menjadikan kamu diredhai oleh Tuhanmu dan dua perkara lagi yang kamu berhajat kepada keduanya. Dua perkara yang yang menjadikan kamu diredhai oleh Tuhanmu ialah Syahadah bahawa tiada Tuhan selain Allah dan beristighfar (memohon keampunan) kepada-Nya. Manakala dua perkara yang kamu perlukan ialah kamu berdoa agar diberikan syurga dan berdoa agar dijauhkan daripada api neraka. Sesiapa yang memberi minum seorang untuk berbukanya, maka Allah akan memberikan dia minum dari air minumanku yang dia tidak akan dahaga selepasnya sehinggalah dia memasuki syurga.”


Bagi sesiapa yang berminat untuk mendapatkan buku ini, boleh hubungi saya di talian 012-6615745 atau emel abu_itqan@yahoo.com. Hanya RM12.00 senaskhah.

Terima kasih. Ramadhan Kareem!!

-WaN aM-
200809
Pusat Bandar Melawati