Tuesday, August 18, 2009

Bertemu Dr Hafidzi

Salam,

Pagi ini bersama Akh Zukri (Timbalan Pengerusi JK Penerangan JIM Pusat) berpeluang bertemu dengan Akh Dr Hafidzi Mohd Noor (Pengarah PACE - Palestine Centre of Excellence)di pejabat beliau di UPM. Sebaik bersua, memang jelas kelihatan fizikal Dr Hafidizi agak lemah, dek kerana kesakitan yang beliau alami seperti yang dikhabarkan dalam forum maya JIM baru-baru ini.



Antara perkara yang kami bincangkan ialah mengenai penerbitan buku-buku terbaru hasil tulisan beliau. Antara yang menarik ialah 'Jejak Risalah di Nusantara V' (Perang Aceh 1873-1913 dan Peranan Snouck Hurgronje). Saya akan bertindak sebagai editor untuk buku tersebut, diterbitkan oleh JIMedia dan akan dilancarkan semasa Malam Amal Nusantara (MAN) anjuran JIM Oktober depan insya-Allah.

Di bawah saya kongsikan sedikit penulisan yang dipetik daripada buku tersebut.

Sama-sama kita doakan Dr Hafidzi kembali diberikan kekuatan dan kesihatan untuk meneruskan perjuangan seharian beliau.

Penghargaan juga buat Dr Hafidzi kerana tidak putus-putus memberikan kepercayaan kepada pihak JIMedia untuk terus menerbitkan karya-karya bermutu beliau.

-WaN aM-
190809
Pusat Bandar Melawati




"...Maka, pada tahun 1873 Belanda mengirimkan 3,000 askarnya untuk menggempur Aceh di bawah komandannya Jeneral Kohler. Kapal-kapal Belanda yang dipimpin oleh J.F.N. Nieuwenhuyzen mula membedil pantai Aceh pada 26 Mac 1873 sebagai tanda pengisytiharan perang. Pendaratan berlaku di Pantai Ceureumen pada 6 April 1873.[1] Tentera Kompeni yang menyertai penyerbuan ke Aceh ini sebenarnya disertai oleh tentera pelbagai negara seperti Swiss, Belgium, Jerman, Luxembourg, Perancis di samping rakyat pribumi daripada Suku Ambon dan Jawa.

Pada pusingan pertama, Jeneral Kohler berjaya mematahkan pertahanan tentera Aceh yang bersenjatakan rencong, klewang dan bedil (meriam). Kutaraja (Banda Aceh) termasuklah Masjid Baitul Rahman yang terkenal itu diduduki oleh tentera Kompeni. Namun, orang Aceh yang terkenal dengan slogan 'Hidup Sare (mulia) Mati Syahid' tidak mengenal erti mundur dan melancarkan serangan balas. Salah seorang penembak tepat (sniper) Aceh telah berjaya membidik dan membunuh Jeneral Kohler dari jarak 400 meter dari seberang sungai.[2] Kematian Jeneral Kohler menandakan bermulanya satu kempen yang berlarutan sehingga 30 tahun dan Aceh bertukar menjadi kubur terbesar askar-askar Belanda dalam sejarah imperialisnya.

Belanda terpaksa berundur tetapi melancarkan serangan kedua yang dipimpin oleh van Swieten. Ancaman serangan kedua Belanda telah membangkitkan semangat jihad di seluruh tanah rencong (Aceh). Uleebalang-uleebalang dari Meureudu dan Pidie dengan sokongan seribu orang pahlawan berkumpul di Banda Aceh untuk menyambut serangan tersebut. Separuh daripada penduduk Meulaboh turut bergerak ke Banda Aceh. Pasukan terbesar yang datang membantu ialah dari Aceh Besar terutama Panglima Polem dari Mukim XXII dengan pasukan seramai 10,000 hingga 100,000 pejuang. Dua orang lagi pemimpin Aceh yang menyerlah dalam menyambut serangan kedua Belanda ialah Teuku Imam Lueng Bata dan Teungku Hashim.[3]

Dalam serangan kedua, Belanda menyediakan ketumbukan tentera terbesar yang pernah disediakan di sebelah timur iaitu seramai 8,500 askar dengan disokong oleh 4,300 pembantu dan kuli. Di samping itu 1,500 askar simpanan turut dikerah dari Padang. Hampir separuh daripada askar yang mengambil bahagian adalah tentera upahan dari Belanda dan seluruh Eropah. Ketika ekspedisi tentera Belanda bertolak dari Batavia, penyakit taun sedang menular dan 80 orang dilaporkan menjadi korban taun sebaik mendarat di Aceh pada 9 Disember 1874. Apabila hasrat Gen van Swieten hanya disambut dengan peluru dan pedang yang terhunus, maka pada 25 Disember 1874, tentera Belanda melancarkan serangan ke atas Banda Aceh.

Masjid Baitul Rahman yang dipertahankan dengan gagah berani oleh Teungku Hashim ditawan Belanda pada 6 Januari 1875. Empat hari kemudian, serangan pada waktu malam dilancarkan ke atas dalam (istana) setelah Pidie dibedil untuk mengelirukan pejuang Aceh. Penyakit taun turut merebak dalam kalangan pejuang Aceh sehingga dikatakan setiap hari seratus orang menjadi korban. Pada 24 Januari, van Swieten mengepung Dalam dan pejuang Aceh berundur ke kawasan pergunungan.

Berita kemenangan disambut oleh rakyat Belanda dengan penuh kegembiraan dengan mengebarkan bendera di merata tempat. Walaubagaimanapun rakyat Aceh sama sekali tidak melihat ini sebagai satu kekalahan di pihak mereka. Sebaliknya pihak Belanda yang terkepung di Kotaradja (nama yang diberikan oleh Belanda ke atas Banda Aceh) dan tidak berani keluar dari kepungan tersebut sehingga memaksa mereka mengimport makanan dan bekalan dari Pulau Pinang. Pasukan Belanda kehilangan 1,400 orang tentera akibat penyakit taun dan terkorban dalam penyerangan sebelum van Swieten meninggalkan Aceh dan dalam tempoh setahun purata 150 orang askar terkorban setiap bulan. Berdasarkan satu laporan dari Pulau Pinang, pejuang Aceh yang terkorban dalam pertempuran dan akibat penyakit taun mencecah 37,000...[4]



[1] Sebaik sahaja mendarat, sembilan askar Belanda terbunuh dan 47 yang lain tercedera daripada serbuan pahlawan Aceh yang menunggu mereka dengan klewang. Mereka juga menggunakan senapang dan meriam yang moden sehingga salah satu daripada enam kapal Belanda Citadel van Antwerpen menerima 12 kesan bedilan. Lihat, Perang Kolonial Belanda di Aceh, Pusat Dokumentasi dan Informasi Aceh, Banda Aceh, 1977, hlm. 24.

[2] Setelah masjid berjaya diduduki tentera Belanda, Jeneral Kohler berangkat menuju masjid dan setibanya di sana menatap pelbagai arah untuk melihat-lihat di mana letak dalam dan jurusan mana yang akan diterobos. Dalam detik itu juga, dia ditembak dari jarak jauh oleh pahlawan Aceh yang bersembunyi dan mengenai dada kiri sehingga tembus. Menurut dugaan pihak Belanda tembakan itu dari sebarang sungai dan jauhnya tidak lebih dekat dari 350 meter, tentu sahaja dipetikkan dari senapang seorang yang berpengalaman. Kohler jatuh terserembab dan menggerakkan kedua tangannya meminta tolong. Pertolongan segera diberikan dalam kebingungan mereka, tetapi sesudah dibawa ke sebuah pohon, Kohler pun menghembuskan nafasnya yang terakhir. Lihat Mohammed Said, Atjeh Sepanjang Abad, diterbitkan oleh pengarang sendiri, 1961, hlm. 418. Jeneral Kohler terbunuh pada 14 April dan serangan ke atas dalam (kraton - istana) dua hari selepasnya berjaya dipatahkan. Menderita kekalahan, Nieuwenhuyzen membuat keputusan untuk berundur sehingga ekspedisi yang lebih besar dapat dikerah selepas musim monsun Barat-daya.

[3] Anthony Reid, op. cit.,. hlm. 109.

[4] Ibid. hlm. 110-112.







2 comments:

ummu ijlal said...

going to use this book as subject of discussion in my usrah...nak tempah in advance 6 buah..please take note ya..

My Gen-Y said...

OK ummu ijal!

Kena struggle siapkan editing buku tu dulu..