Saturday, August 29, 2009

Reaksi NGO Islam berkenaan isu sebat Kartika

Salam,

Dikongsikan sebuah berita yang saya sediakan dan dimuatkan dalam portal berita Malaysia Harmoni.

Pastikan kita mengikuti isu mengenai Kartika Sari ini dengan baik. Ini berkenaan hukum Allah yang dipertikaikan oleh manusia, termasuk dalam kalangan umat Islam sendiri.

-WaN aM-
290809
Gombak

PEMBELA tuntut hukuman sebat diseragamkan

PEMBELA Tuntut Seragam Hukuman Sebat

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menuntut agar hukuman dan pelaksanaan hukuman sebatan di Mahkamah Syariah dikekalkan, diseragamkan serta dilaksanakan di seluruh negara.

PEMBELA Tuntut Seragam Hukuman Sebat

Menurut Mohamad Isa Abdul Ralip (gambar), setakat ini hanya tiga buah negeri sahaja yang melaksanakan hukuman sebatan atas kesalahan meminum arak.

“Kita menuntut agar pihak yang berautoriti menyeragamkan hukuman sebatan bagi kesalahan meminum arak ini di setiap negeri di Malaysia. Bukan sahaja bagi kesalahan meminum arak, bahkan juga kesalahan-kesalahan jenayah syariah yang lain turut diseragamkan di semua Mahkamah Syariah di seluruh negara.”

“Selain itu, kita juga ingin menegaskan bahawa hukuman sebatan dalam Islam adalah untuk mendidik dan amat berbeza dengan hukuman yang dilaksanakan mengikut Kanun Keseksaan yang diamalkan dalam Common Law dan Mahkamah Sivil,” ujar Mohamad Isa.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) berkata, semua pihak harus mematuhi dan menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Syariah.

“Kita menyeru agar jangan ada tekanan dan gangguan daripada mana-mana pihak mengenai undang-undang dan perlaksanaan undang-undang syariah, lebih-lebih lagi daripada golongan yang bukan Islam,” tambah beliau.

Menurutnya lagi, pihak PEMBELA juga berharap agar Majlis Peguam atau sesiapa yang tidak berkenaan dengan agama Islam hendaklah tidak mencampuri urusan agama Islam dan menyerahkan urusan tersebut kepada pihak yang berautoriti bagi agama Islam.

“Kami menjunjung kasih kepada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tentang titah baginda supaya semua pihak bersabar dan menyerahkan kepada Mahkamah untuk isu hukuman sebat ini. Selain itu, kami juga ingin mengucapkan syabas kepada Kartika Sari Dewi Shukarno yang tabah dan sabar dalam menghadapi polemik ini dan sanggup menyerahkan nasibnya kepada pihak berkuasa agama Islam Pahang atau JAIP,” kata beliau dalam sidang media PEMBELA yang diadakan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

PEMBELA Tuntut Seragam Hukuman Sebat

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin, Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Raimi Ab Rahim serta wakil daripada beberapa NGO Islam yang lain.

Sidang media tersebut diadakan susulan isu Kartika Sari Kartika yang didenda RM5,000 dan enam sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai 2009 kerana meminum arak di pusat hiburan di Cherating, pada 11 Julai 2008.


Sumber: http://www.malaysiaharmoni.com/

No comments: