Monday, May 24, 2010

Murabbi Kampus - episod 3

Oleh Wan Am

Kampus yang aku jejaki hari ini bolehlah dikatakan ‘gah’ pada mata masyarakat. Sejarahnya sudah melepasi beberapa dasawarsa. Puluhan ribu, jika tidak ratusan ribu graduan telah dilahirkan melalui institusi ini dalam tempoh masa tersebut. Dalam kalangan mereka ada yang telah menjadi orang besar dalam bidang masing-masing. Dengan latar belakang tersebut sudah cukup membuatkanku puas andai dapat menumpahkan keringatku buat beberapa waktu di tempat ini, walaupun pada awalnya insitusi ini bukanlah menjadi destinasi pilihan utamaku sewaktu mengisi borang UPU.

“Assalamualaikum, saya Azlee!” Seorang lelaki berkulit cerah dan berkaca mata menegurku sewaktu aku mula meletakkan barang-barang peribadiku di atas katil yang masih belum diduduki orang. Sudah tentu dia yang ditempatkan sebilik denganku oleh pihak kolej kediaman. Sebuah lagi katil di dalam bilik tersebut masih belum terusik.

“Waalaikumsalam, saya Ilman.” Lantas kami berjabat tangan. Bicara biasa bagi mereka yang baru kali pertama berkenalan berlangsung antara kami. Nampaknya kami sama-sama orang bandar. Maka bertambah banyaklah cerita yang dibualkan.

Perbualan kami terganggu dengan bunyi ketukan pintu dari luar.

“Masuklah, pintu tidak berkunci!” Azlee sedikit memekik.

Pintu terkuak. Seorang lagi yang pastinya seusia kami memandang kami sambil tersenyum. Kemudian membuka sepatu dan meletakkannya di rak yang dikhaskan. Melihatkan beg-beg baju serta beg plastik yang dibawanya agak banyak, kami terus menerpa ke arahnya, tanda mahu menghulurkan bantuan.

“Tidak mengapa. Saya boleh mengangkat barang-barang saya ini sendiri.”

“Takpelah. Pasti awak dah penat mengangkut barang-barang ini dari tingkat bawah. Mari kami bantu,” aku pintas menawarkan diri. Azlee menggangguk, tanda setuju.

“Terima kasih. Saya Mustafa, dari Johor Bahru.” Mustafa menghulurkan salam. Kami berdua menyambutnya lantas memperkenalkan diri masing-masing.

Kami kembali mengemas barang peribadi masing-masing. Setiap pelajar diperuntukkan sebuah katil, sebuah almari baju, dan sebuah meja belajar. Walaupun kelengkapan-kelengkapan ini agak memenuhi ruang bilik kami, namun keselesaan masih terasa. Alah bias tegal biasa. Resam ingin menuntut kejayaan, biarlah bersusah-susah dahulu.

“Dah sampai masa makan tengah hari ni. Jom kawan-kawan kita pergi isi perut. Dengar kata kalau nak lunch kena pergi kolej kediaman sebelah. Di kolej kediaman kita ni tiada kafetaria kan?”

“Ya. Mari!”

Thursday, May 20, 2010

Murabbi Kampus - episod 2

Oleh Wan Am

Petang itu adalah petang yang damai. Selepas menunaikan solat fardu Asar secara berjemaah, lapan orang anak muda berhimpun di ruang belakang masjid yang tersergam di kampus yang terletak di Bandaraya Anggerik.

“Assalamualaikum. Apa khabar semua?” Aku memulakan sebelum kami berlapan membentuk bulatan, mengambil tempat duduk masing-masing.

Ucapan salamku dibalas perlahan oleh mereka. Ammar, Rahman, Muhaimin, Umar, Amir, Hafidz dan Asyraf memandangku, pelbagai riak muka yang terpancar. Mereka tidak tertinggal untuk berjabat tangan denganku. Penuh mesra.

“Semua maklumkan abang Mustafa tak dapat bawa usrah kamu hari ini? Dia minta abang ganti,” aku meneruskan. Masih ada rasa kurang keyakinan di dalam diri.

“Ya, abang Mustafa ada SMS saya tengah hari tadi dan minta saya beritahu mereka semua yang usrah hari ini akan diadakan walaupun dia tak dapat hadir. Abang, empat orang daripada kami tidak hadir usrah hari ini,” ujar Umar, menunaikan tanggungjawabnya sebagai ketua kumpulan usrah tersebut.

“Hm.. Siapa mereka? Dan mengapa?” soalku.

“Shakir, Nazim, Basith dan Muzakkir. Shakir dan Nazim perlu terlibat dalam aktiviti kolej kediaman mereka. Muzakkir pulang ke rumahnya di Gombak, ada urusan keluarga katanya. Basith pula tidak dapat dikesan. Dah puas kami telefon, tapi tidak berjawab,” sampuk Rahman.

“OK, tidak mengapa. Mungkin sebentar lagi Basith sampai. Kita mulakan dahulu usrah kita ni ya.” Lantas aku membetulkan dudukku dan membuka al-Quran. Memang menjadi kebiasaan, kami akan memulakan usrah dengan membacakan beberapa ayat daripada kitab suci umat Islam ini.

Aku juga tidak tertinggal memasukkan agenda taaruf dalam usrah kali ini. Ada dalam kalangan mereka yang aku pernah bersua sebelum ini dalam beberapa kesempatan program yang aku ikuti. Namun lebih ramai yang aku baru berjumpa buat kali pertama. Aktiviti taaruf yang diadakan benar-benar membangkitkan suasana ceria usrah tersebut memandangkan dalam kalangan mereka ada yang agak humor sifatnya. Mudah-mudahan rukun taaruf yang merupakan salah satu daripada tiga rukun asas dalam pelaksanaan usrah tercapai melaluinya.

“Baiklah. Bagi meneruskan usrah kita hari ini, kita mempersilakan abang Ilman untuk menyampaikan pengisian utamanya,” ujar Muhaimin yang bertindak sebagai pengerusi majlis usrah pada hari ini.

Beberapa jam yang lalu sempat jugalah aku membuat persediaan bahan yang akan disampaikan dalam usrah ini. Mustafa memintaku berkongsi tentang tafsir surah an-Nasr. Buku ‘Tafsir al-Wadhih’ tulisan Dr. Muhammad Mahmud Hijazi dan terbitan Pustaka Salam menjadi pilihan rujukanku. Malah buku itulah yang menjadi rujukan utama bagi bahan-bahan berkaitan tafsir al-Quran dalam silibus usrah peringkat satu dalam sistem tarbiah yang aku turuti ini.

“Surah an-Nasr mengandungi tiga ayat sahaja, dan tergolong dalam surah Madaniyyah,” aku memulakan pembentangan berhubung surah tersebut. “Melalui surah ini, Allah menyampaikan berita gembira buat Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabatnya. Apa berita gembiranya? Iaitu Allah akan memberikan pertolongan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan pengikutnya yang berupa kemenangan kepada umat Islam.”

Aku turut berkongsikan kepada mereka sepintas lalu kisah Fathul Makkah yang mempunyai kaitan dengan surah ini. “Pembukaan kota Mekah bermaksud kota Mekah bebas daripada pengaruh, amalan dan cengkaman jahiliah. Sebelum mekah dikuasai oleh umat Islam, kota ini menjadi pusat penyembahan berhala dan amalan-amalan tradisi masyarakat jahiliah yang sememangnya menyimpang jauh daripada ajaran Islam. Kejayaan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat membuka kota Mekah bererti kejayaan umat Islam mengembalikan kesucian Kaabah.”

Wednesday, May 19, 2010

Murabbi Kampus - episod 1

Oleh Wan Am

Pagi hari minggu itu tidaklah terlalu berbeza berbanding pagi hari-hari minggu sebelumnya. Matahari sudah naik sepenggalah, dan ada insan-insan di dalam kamar ini yang masih lena diulit mimpi. Pada hari biasa yang lain mana ada peluang untuk melajakkan tidur sebegini. Kadang-kadang seusai dinihari sudah perlu bergegas ke dewan kuliah, jika perlu menghadap pengajaran pensyarah seawal jam sembilan. Sebelum itu perut pula minta diisi terlebih dahulu.

Namun pagi hari minggu ini ada sedikit beda buat diriku. Ada kerja yang hendakku bereskan. Memenuhi minat, mencakup juga rasa tanggungjawab kepada manusia dan alam.

“Kau tengah buat apa tu, Man?”

Sekonyong-konyong Mustafa menyapa dari belakang. Aku sedikit tersentak.

“Oh, kau Mus. Aku sedang menaip berita. Kau tahu kan aku ke Stadium Malawati di Shah Alam malam tadi, ada perhimpunan perdana sempena isu Palestin. Aku nak hantar berita ni ke portal berita Muslim Kini. Boleh la tambah sedikit pendapatan sampingan,” aku memberitahu, sambil jari-jariku rancak menekan papan kekunci komputer riba milikku.

“Oh ya. Hm..”

“Kenapa Mus? Macam ada sesuatu aje..” Aku menoleh ke arah Mustafa. Dia seakan berfikir tentang sesuatu.

“Ada bantuan yang aku perlukan daripada kau la.”

“Ha, apa dia? Beritahu sajalah.”

“Begini,” Mustafa berhenti beberapa saat sebelum menyambung bicaranya. “Sepatutnya petang ni aku ada usrah dengan anak-anak usrah aku. Tapi aku tak dapat hadirlah, Tiba-tiba sahaja pensyarah aku ingin buat kelas ganti.”

“Jadi?” Tanyaku sambil cuba meneka isi hati sahabatku ini.

“Aku nak minta kau ganti aku, jadi naqib untuk anak-anak usrah aku semasa usrah mereka petang ni. Boleh?”

“Eh, aku mana ada pengalaman bawa usrahlah. Macamlah engkau tak tahu. Aku masuk usrah ni pun baru setahun lebih, bukan macam kau.” Seketika aku terimbas saat-saat awal aku menghadiri usrah, sejenis aktiviti yang sebelumnya agak asing bagiku. Penyertaanku dalam aktiviti usrah ini adalah hasil ajakan Mustafa, rakan sebilikku di Kolej Kediaman Merbau sewaktu aku dalam semester pertama pada tahun awal pengajianku.

“Setahu aku dalam tiga bulan terakhir ini kau jadi penolong naqib kepada usrah Redhuan kan?” Mustafa tiba-tiba mematikan lamunan singkatku. “ Ha, inilah masanya yang sesuai untuk kau hirup pengalaman pertama sebagai naqib. Kalau tidak sekarang, bila lagi? Lagipun kau dah masuk peringkat kedua dalam sistem usrah kita. Aku rasa tiada masalah untuk kau bawa usrah. Anak-anak usrah aku tu pun masih lagi baru dalam peringkat satu.”

Aku terdiam sejenak. Teringat kepada sepotong firman Allah dalam surah Al-Fusilat ayat 33 yang baru aku hafal minggu lalu:

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal salih dan berkata: Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri?”

“Man, ini peluang kita untuk merebut pahala daripada-Nya. Jangan kau tak tahu, membawa usrah ni kan sunnah ar-Rasul? Aku juga harap kau tak lupa dengan segala perkara yang kita peroleh dalam daurah pemantapan murabbi yang kita ikuti baru-baru ini.”

Ya, aku tidak lupa dengan ilmu-ilmu yang aku peroleh dalam daurah tersebut. Kata-kata Ustaz Malik yang menyampaikan pembentangan dalam daurah tersebut juga masih terngiang-ngiang di telinga, “Misi penciptaan kita di atas dunia ini tidak lain kecuali menjadi rahmat kepada sekalian alam. Rahmatnya kita adalah dalam konteks memberikan kebaikan dan manfaat yang sebesar-besarnya kepada masyarakat.”


Tuesday, December 8, 2009

Bermula cabaran serba baru...

Salam,

Lama tak bersua di ruangan kerdil ini. Dikongsikan berita di bawah, sedikit perkembangan terkini mengenai diri ini.

Semoga diberkati Allah.

-WaN aM-
081209
Gombak

Gabungan pengalaman, dinamisme 'gen-Y' terajui JIM

jkp

KUALA KANGSAR, 8 November - Perhimpunan Perwakilan Nasional (PPN) JIM ke-19 melabuhkan tirainya pada petang Ahad lalu, menampilkan senarai nama Ahli Jawatankuasa Pusat (JKP) JIM yang baru untuk sesi 2009-2011. Senarai tersebut, termasuk senarai Ahli Jawatankuasa Wanita Pusat (JKWP) yang diumumkan sehari sebelumnya, menyaksikan gabungan tokoh berpengalaman dan generasi pelapis yang lebih dikenali sebagai 'gen-Y' dalam menggalas amanah lebih 10,000 ahli JIM untuk memacu dakwah dalam masyarakat. Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Mohd Kamal Mohd Rathi mengumumkan keputusan pemilihan JKP yang dibuat pada malam hari sebelumnya, dan keputusannya adalah seperti berikut:

Ahli Jawatankuasa Pusat (JKP) sesi 2009-2011

Presiden: Zaid Kamaruddin
Timbalan Presiden: Syed Ibrahim Syed Noh
Naib Presiden:
Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj
Prof Dr Shahrim Ahmad
Setiausaha Agung: Hj Nahar Md Nor
Penolong Setiausaha Agung: Kamarul Zaman Shaharul Anwar
Bendahari: Tuan Yaacob Tuan Sof
AJK:
Muhammad Abdullah
Mokri Sabran
Ahmad Jamali Sepihie
Dr Zulfakar Ramlee
Prof Madya Dr Hjh Salwani Mohd Daud
Wan Muhammad Wan Ibrahim
Ahmad Raji Yaakob

Pengerusi Tetap: Ainol Azhar Jamil
Timbalan Pengerusi Tetap: Ibni Khalid Jurait
Pemeriksa Kira-kira:
Jusni Yusof
Wan Suhaimi Wan Sulaiman

jkwp

Ahli Jawatankuasa Wanita Pusat (JKWP) sesi 2009-2011

Ketua Wanita: Che Asmah Ibrahim
Timbalan Ketua Wanita: Dr Roslainy Abd Rahman
Setiausaha Kehormat: Anfal Saari
Bendahari: Fairuzana Hanim
AJK:
Faridah Maludin
Maryam Aizuddin
Roha Hassan

Pengerusi Tetap: Cik Rosliah Abas
Timbalan Pengerusi Tetap: Dr Umi Kalthum Ngah

wanamPemilihan kali ini mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya jawatan Naib Presiden diisi oleh seorang wanita iaitu Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj yang meninggalkan kerusi lamanya, Ketua Wanita. Satu lagi sejarah tercatat apabila hampir semua jawatan tertinggi yang dipertandingkan menyaksikan penarikan diri oleh calon-calon yang disenaraikan, menyebabkan banyak berlaku kemenangan tanpa bertanding. Buat julung kali juga, seorang wakil 'gen-Y' (Wan Muhammad Wan Ibrahim - gambar, kanan) diberi kepercayaan berada dalam senarai JKP, selain dua wakil (Anfal Saari dan Maryam Aizuddin) dalam JKWP.

paklangBekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Remaja dan Belia, Mokri Sabran (gambar, kanan) ketika dihubungi tidak menyembunyikan perasaan gembiranya apabila JKP 2009-2011 turut dianggotai seorang wakil belia.

"Saya melihat kesedaran untuk melibatkan 'gen-Y' dalam saf kepemimpinan semakin jelas. Penglibatan ini bukan setakat di peringkat negeri, bahkan di peringkat pusat. Kesudian para perwakilan memilih Wan Am (Wan Muhammad) menunjukkan satu perkembangan baik untuk jemaah," ujarnya.

Beliau menambah, kehadiran generasi muda dalam persada dakwah masa kini, khususnya bagi menghadapi pelbagai cabaran budaya, teknologi dan sosial, semakin dapat dirasakan bersama oleh pimpinan di semua peringkat.

"Saya tak menafikan sebelum ini kesedaran tersebut memang ada, tetapi ia tidak digarap secara serius dan berkesan. Kita mahu lebih daripada itu. Kenal pasti dan serlahkan bakat kepimpinan ini secara bersungguh-sungguh. Tahun lepas, seramai 122 orang anak muda memegang jawatan di peringkat daerah, negeri dan pusat. Tahun ini jumlah tersebut melonjak kepada 198. Insya-Allah, jika bilangan ini dapat dipertingkatkan lagi sehingga 250 orang, ia mampu membawa impak yang besar kepada dakwah JIM dalam masyarakat," tambahnya.

Namun impian ini hanya akan dicapai dengan syarat anak-anak muda tadi diberi bimbingan dan pendidikan berterusan sehingga mereka mampu berdiri dan memimpin. Untuk tujuan itu, menurutnya lagi, pimpinan pusat khususnya Jawatankuasa Pengurusan Sumber Manusia dan Pembangunan Remaja dan Belia perlu berganding bahu membina anak-anak 'gen-Y' ini agar menjadi aset yang bernilai kepada JIM pada masa hadapan.

Sementara itu, wakil Johor iaitu Ainullotfi Abdul Latif (YDP JIM Johor) diumumkan sebagai pembahas negeri terbaik manakala Roslan Muhammad pula dipilih sebagai pembahas bebas terbaik.

PPN dan PPWN JIM tahun ini diadakan di Kolej Islam Darul Ridzuan (KISDAR) di sini dari hari Jumaat, 4 Disember 2009 hingga Ahad, 6 Disember 2009. Lebih 600 orang termasuk perwakilan, pemerhati, tetamu dan ahli JIM hadir dalam perhimpunan selama tiga hari tersebut.

Sumber: http://www.malaysiaharmoni.com/

Tuesday, September 1, 2009

Berbuka Puasa di Teratak DSAI

Salam,

1 September 2009 (Selasa) lalu, saya mengikuti rombongan pimpinan Jawatankuasa Pusat (JKP) JIM memenuhi undangan majlis berbuka puasa tertutup oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) di kediamannya di Bukit Segambut. Majlis turut dihadiri oleh tetamu-tetamu daripada beberapa NGO Islam yang lain seperti ABIM, ASASI, WADAH, PKPIM dan lain-lain serta beberapa orang pimpinan dan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Usai berbuka puasa dan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah, satu tazkirah disampaikan oleh Prof Dr Razali Nawawi, Mantan Presiden ABIM yang pertama berkenaan sirah rasul-rasul terpilih, diikuti ucapan ringkas oleh Dr Muhammad Nur Manuty mengenai perkembangan sebuah biro khas berkenaan agama Islam yang telah ditubuhkan dalam PKR . Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakhiri majlis dengan menyampaikan ucapan yang menyentuh isu-isu semasa, termasuk pengharapan tinggi beliau terhadap peranan NGO-NGO Islam dalam menghadapi kemelut dan cabaran semasa dalam negara.

Dikongsikan beberapa foto yang sempat dirakamkan dari lensa JIMedia:


DSAI (tengah, berbaju putih) bersama beberapa tetamu sewaktu berbuka puasa


Hj Zaid (dua dari kiri) dan Ahli-ahli JKP yang hadir


Solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah di kediaman DSAI


Prof Dr Razali Nawawi menyampaikan tazkirah


Ucapan oleh DSAI


Para tetamu khusyuk mendengar amanat DSAI


Semoga bermanfaat untuk semua. Iltizam kita adalah untuk terus mengukuhkan kerajaan Pakatan Rakyat.

-WaN aM-
Pusat Bandar Melawati
3 September 2009

Monday, August 31, 2009

Di Ambang Merdeka 2009

Salam,

Sambutan merdeka tahun 2009 ini ada kelainannya. Jika tahun-tahun sebelum ini saya mengecap pengalaman dalam aktiviti Task Force yang diadakan oleh JIM dan KARISMA setiap kali sambutan kemerdekaan di KLCC, namun kali ini Masjid Negeri, Shah Alam meriah dengan sambutan merdeka yang sangat memberikan pengiktibaran pada diri. Lebih menginsafkan kerana sambutan kali ini berlangsung dalam bulan penuh rahmat, Ramadan al-Mubarak.

Saya sempat meluangkan masa pada malam 30 Ogos 2009, merakamkan detik-detik bersejarah, HIMPUNAN RAMADHAN DI AMBANG MERDEKA 2009...


Saudara Zun Arif Hakim Abdul Rahman, Pengarah Himpunan Ramadhan Di Ambang Merdeka 2009, suatu usahasama oleh gabungan 100 NGO Anak Merdeka, Kerajaan Negeri Selangor, Masjid Negeri, COMPLETE, PACE dan Pro Event


Antara Muslimin dan Muslimat yang hadir


Saudara Muaz (tengah) dan rakan-rakan mengalunkan nasyid berkenaan Al-Aqsa, sebuah nasyid klasik


Hj Shahool Hamed, Senior Fellow PACE menyampaikan perkongsian mengenai isu Palestin


Imam Besar Masjid Negeri, Hj Ahmad Mustafa Mohd Sidin menyampaikan ucapan aluan


Exco Kerajaan Negeri Selangor, YB Rodziah Ismail (tengah) bersama para VIP dalam sesi perkongsian menjelang 12.00 tengah malam


Ikrar Merdeka dikumandangkan, keazaman tersemat untuk menjadi insan dan ahli masyarakat yang lebih baik


Laungan "MERDEKA" diselangi dengan laungan kalimah "ALLAHU AKBAR", penuh bersemangat


Muaz (dua dari kanan) mengetuai bacaan doa sempena sambutan kemerdekaan 2009


-WaN aM-
Pusat Bandar Melawati
020909

Saturday, August 29, 2009

Reaksi NGO Islam berkenaan isu sebat Kartika

Salam,

Dikongsikan sebuah berita yang saya sediakan dan dimuatkan dalam portal berita Malaysia Harmoni.

Pastikan kita mengikuti isu mengenai Kartika Sari ini dengan baik. Ini berkenaan hukum Allah yang dipertikaikan oleh manusia, termasuk dalam kalangan umat Islam sendiri.

-WaN aM-
290809
Gombak

PEMBELA tuntut hukuman sebat diseragamkan

PEMBELA Tuntut Seragam Hukuman Sebat

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menuntut agar hukuman dan pelaksanaan hukuman sebatan di Mahkamah Syariah dikekalkan, diseragamkan serta dilaksanakan di seluruh negara.

PEMBELA Tuntut Seragam Hukuman Sebat

Menurut Mohamad Isa Abdul Ralip (gambar), setakat ini hanya tiga buah negeri sahaja yang melaksanakan hukuman sebatan atas kesalahan meminum arak.

“Kita menuntut agar pihak yang berautoriti menyeragamkan hukuman sebatan bagi kesalahan meminum arak ini di setiap negeri di Malaysia. Bukan sahaja bagi kesalahan meminum arak, bahkan juga kesalahan-kesalahan jenayah syariah yang lain turut diseragamkan di semua Mahkamah Syariah di seluruh negara.”

“Selain itu, kita juga ingin menegaskan bahawa hukuman sebatan dalam Islam adalah untuk mendidik dan amat berbeza dengan hukuman yang dilaksanakan mengikut Kanun Keseksaan yang diamalkan dalam Common Law dan Mahkamah Sivil,” ujar Mohamad Isa.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) berkata, semua pihak harus mematuhi dan menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Syariah.

“Kita menyeru agar jangan ada tekanan dan gangguan daripada mana-mana pihak mengenai undang-undang dan perlaksanaan undang-undang syariah, lebih-lebih lagi daripada golongan yang bukan Islam,” tambah beliau.

Menurutnya lagi, pihak PEMBELA juga berharap agar Majlis Peguam atau sesiapa yang tidak berkenaan dengan agama Islam hendaklah tidak mencampuri urusan agama Islam dan menyerahkan urusan tersebut kepada pihak yang berautoriti bagi agama Islam.

“Kami menjunjung kasih kepada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tentang titah baginda supaya semua pihak bersabar dan menyerahkan kepada Mahkamah untuk isu hukuman sebat ini. Selain itu, kami juga ingin mengucapkan syabas kepada Kartika Sari Dewi Shukarno yang tabah dan sabar dalam menghadapi polemik ini dan sanggup menyerahkan nasibnya kepada pihak berkuasa agama Islam Pahang atau JAIP,” kata beliau dalam sidang media PEMBELA yang diadakan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

PEMBELA Tuntut Seragam Hukuman Sebat

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin, Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Raimi Ab Rahim serta wakil daripada beberapa NGO Islam yang lain.

Sidang media tersebut diadakan susulan isu Kartika Sari Kartika yang didenda RM5,000 dan enam sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai 2009 kerana meminum arak di pusat hiburan di Cherating, pada 11 Julai 2008.


Sumber: http://www.malaysiaharmoni.com/